Isnin, 29 Mei 2017

Motif Songket Melayu : Pengucapan Falsafah

Oleh:  Prof. Dr. Othman bin Mohd Yatim dan 
Dr. Arba’iyah bte Abd. Aziz

Terjemahan oleh: Faizal Sidik



Kertas Kerja ini telah dibentangkan di dalam International Symposium on Malay Songket dengan tema " Songket-The Regal Heritage of the Malay World (Songket-Warisan Agung Dunia Melayu) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 6-7 September 2005.



Objektif         
            Kewujudan sebarang objek, kebiasaanya objek apa yang kita sebut kini sebagai artifak hanya setelah ia memenuhi keperluan asas manusia. Masa telah memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi artifak dalam memenuhi keperluan asas itu, artifak ini diperhiaskan dalam memenuhi elemen seni apa yang disebut sebagi keindahan. Keindahan dimanifestasikan melalui pengajaran dan kemudiannya diucapkan melalui emosi. Tujuan utama kertas kerja ini adalah untuk memberi penekanan kepada motif dan kategorinya Kecantikan dalam songket Melayu dan pada masa yang sama menghuraikan maksud tersirat atau kemungkinan maksud-maksud dan mesej disebalik motif itu.

Pengenalan
            Motif adalah elemen dekoratif dalam objek seni, dalam perkara ini termaksuklah songket. Motif direkabentuk daripada corak geometri dan mempunyai susunan dan teknik dan tertentu. Tenunan songket merupakan salah satu kesenian kraftangan Melayu yang diminati bukan sahaja kerana pada kain yang cantik tetapi juga nilai estetika, disamping maksud tersirat didalamnya yang menjadikannya sebagai simbol budaya kepada orang Melayu sejak zaman dahulu kala lagi.

Sungguhpun helaian kain songket mengambarkan maksud dalam cara hidup orang Melayu dimana pemakaiannya  bersesuaian kepada tubuh badan manusia iatu melengkapi gaya hidup kepada pemakainnya. Kesempurnan sesuatu pakaian itu ditentukan dengan melihatnya dari bahagian kepala, badan dan kaki. Bahagian badan pakaian ini dihiasi penuh kaya dan indah dengan motif tenun yang mana disususn calam corak geometrik yang dikenali sebagai Teluk Berantai, corak Johor, corak Tapak Catur, corak Keluang dan corak Bertabur (Grace, 1990)

Menurut Sulaiman Ghani (2005) daya pengamatan penenun songket tradisional biasanya menyimbolkannya sebagai sebuah taman bunga-bungaan. Mereka merenung dan kemudian mengingat dan akhirnya menterjemah apa yang mereka lihat dalam songket sebagai sebuah hasil seni visual. Proses menenun  adalah satu hasil persembahan perasaan dalaman dan menuntut kesabaran seperti mereka melakukan ibadah yang dituntut oleh agama.

Hubungan yang akrab antara masyarakat Melayu tradisi dan hidupan alam semulajadi terutamanya alam flora telah lama wujud. Keharmonian yang wujud ini akhirnya menjelmakan anjakan  dan membina khazanah semiotik dan kosmologi. Menurut Hairuddin Harun (2001), masyarakat Melayu melihat dunia ini penuh dengan simbol makna , gurindam dan syair. Cara pandang hidup mereka tidak sahaja terbatas dalam memanifestasikan alam sebagai material dan hidupan di dalamnya sahaja tetapi menerapkannya di dalam kehidupan seharian masyarakat.

Peribahasa
Keindahan tekstil Melayu banyak diperkatakan dalam kesusasteraan Melayu klasik seperti peribahasa, perumpaan dan tea-teki. Nilai estetik kesusasteraan Melayu juga mengambarkan pengaruh yang kuat dalam cara pandang hidup Melayu. (Braginsky, 1991) Dalam konteks ini, orang Melayu kaya dengan pemikiran dan falsafah, merasakan tanggungjawab perlu dalam terus menyumbang sesuatu yang bermanfaat, dan saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kehiduapan ini. Selain mempunyai maksud yang tersembunyi dalam setiap motif, nama-nama motif ini diberikan berkait rapat dengan simbol kehidupan sebagai nasihat bagaimana berbudi pekerti dan memperlihatkan contoh-contoh yang penting.

Umumnya, motif-motif songket adalah saling kait antara satu sama lain dan biasanya motif ini dikenali dengan motif Teluk Berantai. Konsep dan falsafahnya adalah jelas wujud dalam budaya Melayu, cara hidup mereka mempunyai hubungan antara satu sama lain, harmoni dan bersatu dalam semua aspek kehidupan dan nilai yang diterima oleh masyarakat. Apa yang menarik lagi adalah motif dalam tenunan songket Melayu mempunyai nilai falsafah, adat pemikiran, nilai dan norma orang Melayu yang boleh digunakan sebagai refleksi kebudayaan, kayu ukur dan panduan dalam kehidupan terutamanya untuk generasi yang akan datang.

Kraftangan
            Kebanyakan kraftangan ini adalah penciptaan orang Melayu. Kualiti mutu kerja secara berterusan dan melalui penyelidikan terhadap elemen seni sehingga kini telah meletakkan seni dan budaya Melayu ditempat yang tinggi.

            Sebagaimana yang diperkatakan oleh sarjana, masyarakat Melayu kaya dengan budaya dan falsafah sejak dahulu lagi. Perihal ini mempunyai sejarahnya yang panjang. Dalam perkembangan budaya dan peradaban Melayu, gabungan dan penyepaduan kepelbagaian budaya telah membuktikannya untuk tidak dapat dielakkan. Kepelbagaian budaya dengan animisme, diikuti dengan pengaruh Hinduisme dan Buddhisme, kedatangan agama Islam, pengaruh budaya barat dan berterusan hingga abad ke-21. Pengaruh ini telah dipersuaikan dan diperhalusi oleh masyarakat Melayu terutamanya dalam kesenian dan estetika mereka. Apa yang menarik perkara ini telah mengubah dan mempengaruhi orang Melayu dalam pelbagai segi misalnya pandangan hidup, cara hidup, etika dan nilai.

            Dalam konteks pasca-kolonialisme, terdapat usaha untuk menghidupkan elemen penjelmaan, bentuk dan Falsafah Melayu untuk mengukuhkan orang Melayu. (Rahman Bujang, Nor Azlin Hamidon, 2002). Walaubagaimanapun, proses asimilasi budaya dan peresapan telah melahirkan nilai yang lebih positif, membina (konstuktif) dan terkedepan (progressif) dalam ketamadunan Melayu. Tamadun yang hebat dengan keunikan yang tersendiri telah lama menjadi sebahagaian daripada warisan Melayu.

            Menurut Arnold Hauser (1985) seniman biasanya berkarya dalam lingkungan masyarakat beliau berada. Dengan bergantung kepada kreativiti dan pengalaman dimana menjadi asas kepada karya seni yang berkualiti tinggi, seniman akan berusaha untuk mencari idea-idea yang inovatif yang boleh diterima oleh masyarakat. Usaha kolektif ini memberikan keutamaan jika dibandingkan dengan pilihan individu atau koleksi peribadi. Dalam konteks ini, tiada lagi rahsia dalam proses penciptaan seni dan kemahiran ini biasanya terbuka untuk diketahui. Leo Tolstoy menyarankan karya seni lebih bermakna jika aspek emosional boleh disampaikan dan dikongsi dengan orang lain. Di sini kita boleh lihat citarasa yang sederhana dapat dilihat setelah dimasukkan kegembiraan dan pengucapan  yang jujur kepada masyarakat.

            Menurut Sit Zainon Ismail (1986) ciri inovasi seni yang dikenali sebagai ‘Tradisi Agung’ dimana proses penciptaan memerlukan galakan dan dorongan daripada pihak istana (monarki) dan golongan bangsawan (aristokrat). Ketidaksetiaan menentang norma budaya Melayu. Kepatuhan menjadi asas tradisi yang merupakan sebahagian daripada masyarakat Melayu.

            Dalam masyarakat Melayu tradisi, orang kebanyakan yang tinggal di luar istana mengamalkan budaya yang berbeza yang lebih ringkas dan sederhana manakala mereka yang tinggal di istana amalan cara hidup mereka agak rumit. Ini adalah sebabkan perbezaan tingkat sosial, cara hidup, perkembangan pemikiran, norma dan adat-adat. Oleh yang demikian, pembuatan songket memberi kesan dimana dalam konteks orang biasa itu pembuatan songket lebih sederhana dan bagi golongan pemerintah dan bangsawan lebih menekankan nilai estetik daripada penggunaan songket secara kasual. Walaubagaimanapun, seni tenunan songket telah menjadi lebih meitikberatkan persoalan estetik, pengalaman dan masa.

            Disamping menekankan aspek ketepatan, kesempurnaan dan kepuasan, seniman juga menggunakan intuisi dalam pengucapan perasaan terhadap Pencipta. Al-Ghazali yang dikenali sebagi ahli falsaah Muslim, melihat konsep keindahan daripada dua aspek: extrinsik (faktor luaran) dan intrinsik (faktot dalaman). Beliau menganggap kepuasan seni memerlukan deriaan manusia, jiwa dan pemikiran dan beliau mengatakan makanan jiwa adalah kerohanian, makanan pemikiran adalah pengetahuan manakala makanan deriaan manusia adalah seni. (Rahmah Bujang, Nor Azlin Hamidon, 2002). Kebanyakan motif songket menerapkan konsep penyerahan diri kepada yang satu iaitu ‘Allah Maha Besar’ dalam reka bentuknya. Nilai kerohanian ini merupakan aspek yang dominan dalam kesenian Melayu sejak kedatangan Islam ke rantau ini sejak abad ke-15.

            Selain daripada itu, faktor persekitaran juga memainkan sumbangan yang besar dalam perkembangan penghasilan produk dimana akhirnya akan menjadi cermin atau pantulan kepada budaya tempatan. Syed Ahmaf Jamal dalam buku beliau Rupa dan Jiwa (1992) mendefinasikan seni sebagai jambatan antara dunia realiti dan rohani. Menurut beliau bahawa bentukan seni dan nilai-nilai yang ada adalah pantulan kebudayaan masyarakat. Bagi pemahaman yang lebih mendalam seni boleh dimanifestasikan sebagai buah fikiran dan budaya masyarakat di dalamnya yang menjelaskan keseluruhan aspek kehidupan termasuklah cara berfikir, nilai baik buruk, kepercayaan agama, etika sosial dan lain-lain. Pendeknya, seni mempunyai potensi untuk menerangkan sesuatu yang tersirat dibalik sesuatu yang tersurat.

            Oleh itu,  inovator atau pereka baru songket tidak sahaja memberi sumbangan  terhadap kemahiran individu yang dimiliki, tatapi juga mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial bergantung terhadap penerimaan sosial dan tempat dalam menekankan betapa pentingnya suruhan agama, Oleh yang demikian, atas kewajaran itulah seni songket seharusnya dipulihara dan diangkat sebagai Warisan Negara sebagai cerminan kepada kekayaan kebudayaan dan peradaban kita.

Motif
Sebagaimana yang diperjelaskan di awal, motif merupakan elemen utama rekabentuk. Motif pada songket Melayu daripada pendapat kami boleh dibahagikan kepada 7 kategori:

1.      Motif flora
2.      Motif fauna
3.      Motik kosmik
4.      Objek harian
5.      Motif kaligrafi
6.      Motif geometrik
7.      Motif Kuih-muih

Sejak dari dahulu lagi orang Melayu hidup  harmoni dengan alam semulajadi, kebanyakan penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan hubungan ini secara objektif dan subjektif. Merujuk kepada elemen yang berada dipersekitarannya, ia memungkinkan kita untuk meneroka maksud dan rahsia kehidupan ini. Menurut Plato pada tahap ini dikenali sebagai mimesis atau menyalin. Beliau mengatakan semakin dekat kita menyalin alam maka semakin dekatlah kita dengan kebenaran. Oleh sebab itu, kewujudan alam semulajadi di dalam dunia dan persekitaranya hendaklah dibuat observasi dengan bersungguh-sungguh.

            Zakaria Ali (1989) menrumuskan lima prinsip estetika Melayu yang wujud dalam kesenian Melayu. Prinsip-prinsip it menerangkan bahawa;

1)      Prinsip Berhalus: Disamping merujuk kepada kerja tangan halus prinsip ini juga merujuk kepada pemilihan bentuk-bentuk dan elemen yang diambil daripada alam sekitar. Penciptaan reka bentuk dipandukan berdasarkan model alam dimana bentuk-bentuk diubah-ubah. Proses ini juga wujud dalam seni Islam. Kadangkala, reka bentuk yang dihasilkan hanya boleh dikenalpasti berdasarkan persamaan nama objek. Misalnya Tampuk Manggis, Siku Keluang dan Teluk Berantai.

2)      Prinsip Berguna: Prinsip ini menekankan aspek penggunaan. Disamping menunjukkan elemen keindahan, prinsip ini menunjukkan perkongsian pemikiran sikap orang Melayu. Sikap ini memantulkan amalan penyemerataan atau egalitarianisme masyarakat Melayu. Tidak mementingkan sikap individu tetapi segala penciptaan adalah untuk semua dan perlu  dinikmati bersama.


3)      Prinsip Bersatu: Prinsip ini menerangkan perhubungan yang bersesuaian antara motif-motif dan elemen yang mana selari dengan komposisi. Ia menunjukkan kesatuan daripada proses awal hingga akhir.

4)      Prinsip Berlawanan: Prinsip ini yang menunjukkan sesuatu objek seharusnya mengandungi elemen yang berlawanan. Kewujudan ketegangan daripada prinsip berlawanan ini akan disusutkan dengan memasukkan motif-motif yang lain dalam memperlihatkan keharmonian.

5)      Prinsip Berlambang: Prinsip berlambang atau simbol ini menekankan kesatuan antara isi dan bentuk. Prinsip ini meampakkan kepentingan pendokumentasian untuk merujuk kepada sejarah, budaya dan tafsiran.

Dalam beberapa halaman yang seterusnya kami akan menerangkan perbezaan motif-motif setiap kategori beserta dengan maknanya. Pertama adalah motif flora. Flora boleh didefinasikan sebagai tumbuh-tumbuhan yang wujud di sesuatu tempat dan waktu. Tunbuh-tumbuhan memainkan peranan penting dalam kelestarian kehiduapan terhadap makhluk hidup yang lain dan dalam memenuhi perkembangan budaya manusia. Oleh yang demikian, sejak dahulu lagi tumbuh-tumbuhan sering digunakan sebagai motif yang  dominan atau sumber utama maklumat dan ilham terutamanya kepada pereka dan tukang buat motif Melayu. Fokus utama motif-motif ini adalah seperti  pucuk-pucuk, bunga-bungaan, kelopak-kelopak, buah-buahan, buah-buah muda dan dahan-dahan (Siti Zainon Ismail, 1986)

Sepertimana yang diterangkan sebelumnya berkenaan dengan tenunan songket, reka bentuk penyusunan adalah secara geometrik. Disamping ditumpukan pada keindahan pada sifat fizikal bunga itu sendiri, bunga juga digunakan sebagai simbol kegembiraan. Masyarakat Melayu juga percaya dengan elemen alam dan kegembiraan dimana alam dan tumbuh-tumbuahan mempunyai logik yang tersendiri sebagai simbol. Motif flora yang biasa terdapat pada songket Melayu adalah motif pucuk buluh atau Pucuk Rebung, Tampuk Manggis, Bunga Cengkih, Bunga Melor, Bunga Cempaka, Bunga Tanjung, Bunga Matahari, Bunga Cina dan lain-lain. Apa yang menariknya motif –motif tradisi ini masih lagi digunakan sehingga ke hari ini (Norwani Nawawi, 2002). Walaubagaimanapun, dalam pembentangan ini kami hanya memokuskan beberapa sampel motif.

Pucuk Rebung atau motif pucuk buluh merupakan hiasan utama yang terdapat pada permukaan songket Melayu terutamanya dibahagian kepala kain. Antara nama motif-motif ini ialah Pucuk Rebung Berjuang, Pucuk Rebung Tunjuk Langit, Pucuk Rebung Kendung, Pucuk Rebung Gigi Bota dan Pucuk Rebung Putu atau Pucuk Rebung Siku Keluang. Ada pepatah Melayu yang mengatakan “jika mahu dilenturkan buluh, biarlah dari rebungnya”. Pengajaran yang boleh dipelajari daripada falsafah ini adalah bagaimana cara untuk mendidik kanak-kanak atau untuk membina sikap, perlu bermula pada peringkat awal kehidupan itu. Jika kanak-kanak ini tidak didik sejak kecil dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhannya. Oleh itu didikan peringkat awal juga sebahagian daripada konsep kesuburan. Kedudukan Pucuk Rebung Tunjuk Langit yang menunjukkan ke arah atas langit dari segi bahasa menyimbolkan kepercayaan dan cahaya Islam yang berhubungan dengan kalimah Allah Maha Besar.

Motif Tampuk Manggis juga merupakan pilihan utama pereka tenunan songker. Menurut Norwani Nawawi (2002) buah manggis dianggap sebagai ratu bagi buah-buahan. Pengamal perubatan Melayu tradisi seringkali menggunakan pokok manggis yang dikatakan mujarab merawat penyakit. Bak kata pepatah Melayu “hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis” mengandungi unsur nasihat terutamanya apabila kita menilai seseorang. Kebaikan seseorang itu seharusnya dinilai daripada hati dan bukan sahaja daripada aspek fizikal luaran sahaja. Hal ini menunjukkan pemikiran yang kritis dan analisis mendalam dalam masyarakat Melayu sendiri yang mengamalkannya  dan telah berbudaya sejak dahulu lagi. Menurut Ku Zam Ku Idris (1984) terdapat tiga ciri-ciri keindahan dalam seni Melayu iaitu kehalusan, kesesuaian dan kebijaksanaan. Dalam kata lain, berdasarkan inilah kita boleh mengenalpasti keunikan kesenian Melayu.

Motif Bunga Teratai menyimbolkan salah satu daripada prinsip dalam kehidupan mereka. Bunga-bungaan sering digunakan sebagai simbol alam dan ketuhanan. Peletakan visual bunga membantu dalam memancarkan ketenangan, kehalusan dan perasaan dan emosi yang segar, prinsip hidup dan keyakinan kepada Allah manakala kelopak pula menyimbolkan manusia. Sebagai manusia, kehidupan yang diberikan adalah keyakinan, ketulenan, kekuatan dan aturan sosial. Menurut Syed Ahmad Jamal (1995) konsep keindahan fizikal boleh dilihat dari mata yang memandang namun keindahan dalam dalaman hanya boleh ditanggap dari hati orang yang matang. Dalam kontek motif Bunga Teratai, terdapat kewujudan proses sinkratisme atau asimilasi antara kepercayaan agama dan animisme. Walaubagaimanapun, Islam telah beupaya memberi perubahan yang menyeluruh terutamanya terhadap rasionalisme dan intelektualisme.

Motif buah nenas juga salah satu daripada motif songket. Buah nenas biasanya digunakan untuk dimakan, ramuan makanan dan pencuci mulut. Lebih mendalam lagi, nenas adalah buahan yang membantu dalam menyeimbangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi dan membantu dalam proses penghadaman.

Motif haiwan atau fauna sering menjadi pilihan dalam masyarakat Melayu terutamanya sebelum kedatangan dan penerimaan Islam. Tradisi ini berterusan walaupun selepas kedatangan Islam, walaubagaimanapun penggunaan semakin berkurangan. Motif haiwan yang dipilih dalam songket Melayu adalah haiwan yang akrab dengan orang Melayu dan haiwan ini mempunyai ciri-ciri seperti jinak, pelindung manakala ciri-ciri yang tidak baik mestilah dielakkan misalnya sifat bercakap besar atau sombong, cakap sia-sia dan suka berkelahi. Haiwan ini biasanya yang terdapat dalam motif songket adalah seperti ayam betina, ayam jantan, burung merak, rama-rama, lipan, ikan dan kelawar.

Ayam betina mengambarkan ciri-ciri haiwan yang sangat melindungi ahli keluarga. Semenjak penetasan anak-anak ayam lagi ayam betina telah menunjukkan ciri-ciri kasih sayang dan sebagai tempat perlindungan daripada anak-anaknya daripada ancaman. Kesuburan ayam betina terletak pada simbol berapa banyak telur yang ditetas. Berbeza pula ciri-ciri yang ada pada ayam jantan yang sering dianggap haiwan yang mempunyai tabiat tidak baik seperti suka bercakap besar dan sombong mengenai sesuatu pencapaian meskipun pencapaian tu adalah sesuatu yang sia-sia.  Kedua-duanya mempunyai sikap yang berlawanan antara satu sama lain pantulan daripada realiti dan budaya dimana kita hidup.

Burung merak juga banyak dihasilkan oleh penenun. Merak adalah sejenis burung yang cantik terutamanya pada bahagian ekornya. Dalam konteks ini sesuatu keindahan dan penonjolannya tidak sahaja diukur sebagai sesuatu kesombongan dan keangkuhan diatas anugerah yang diterima. Budaya Melayu sering menekankan nilai-nilai misalnya berbudi bahasa dan baik hati dalam menyimbolkan ciri-ciri sifat individu.

Rama-rama boleh dilihat daripada putaran hidup rama-rama itu sendiri. Daripada ulat beluncas yang hodoh rupanya bertukar menjadi kepompong dan berkembang menjadi rama-rama yang cantik. Proses-proses ini menyimbolkan konsep kasih sayang dan keindahan dan kedua-dua konsep akan akan kekal selama-lamanya.

Orang Melayu juga mendapat ilham motif-motif daripada kosmos misalnya bulan, matahari, bulan dan awan dalam membangunkan reka bentuk songket. Hubungan erat antara masyarakat Melayu dan persekitaran telah wujud sejak dahulu lagi dimana pelbagai penemuan dalam ilmu pengetahuan, pengertian dan kepercayaan telah dihasilkan. Masih terdapat banyak lagi rahsia tersembunyi yang masih belum dibuat penyelidikan dan didedahkan. Walaubagaimanapun, bergantung kepada usaha manusia itu sendiri untuk menemui sesuatu yang baik atau tidak. Dalam perbincangan ini, pengetahuan yang mendalam yang dipandu dengan aturan dan kepatuhan yang diperlukan, seperti pergerakan dan putaran alam ini. Bulan, bintang dan matahari menyimbolkan keindahan alam manakala awan melindungi alam disekitarnya. Perkara ini boleh dikaitkan dengan perkembangan Islam yang bermula di suatu tempat dan tersebar dan berkembang di diserata ceruk dunia untuk menyampaikan kebenaran yang sebenar untuk semua.

Menurut Siti Zainon (1986) penenun juga mengambil kehidupan nelayan dalam menghasilkan motif songket. Misalnya, motif Bintang Beralih sebenarnya adalah perletakan bintang dimana digunakan oleh nelayan sebagai panduan untuk mendapat tangkapan yang besar, motif ini juga adalah simbol kepada limpahan rezeki. Bintang yang berkelip-kelip adalah panorama yang indah. Ilham daripada situlah tukang Melayu juga menggunakan panorama ini sebagai panduan dimana dan masa bila sesebuah rumah itu sesuai dibina agar rumah itu akan dilimpahkan keberkatan dikemudian hari.

Terdapat juga penggunaan  motif –motif alam benda atau objek harian yang berdasarkan kegunaan tertentu dan mempunyai ciri-ciri yang menarik. Kewujudan objek dipercayai membawa tuah yang baik, rahmat atau keuntungan atau perlindungan kepada pemakainya misalnya motif keris, mahkota, kipas tangan, tudung saji dan banyak lagi.

Keris adalah objek yang sangat penting dalam masyarakat Melayu tradisional yang digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Selain sebagai simbol lelaki Melayu tangkas dan berani, keris juga adalah objek yang mempunyai elemen magis. Keris sering digunakan dalam upacara ritual tradisi kerana keris dipercayai mempunyai semangat yang tersendiri. Semenjak keris mempunyai pengaruh kuat dan impak yang besar bagi orang Melayu, tidah menghairankan jika proses untuk membuat dan memulihara keris ini dilakukan dengan berwaspada, penuh adab dan secara artistik. R.O. Winstedt mengatakan ‘keris adalah hasil kerja tangan orang Melayu yang paling asli kecantikannya’. Kini keris adalah simbol kuasa, kedaulatan dan kemegahan bangsa Melayu. Oleh itu penenun songket sering menggunakan motif ini untuk melambangkan kekuatan orang Melayu.

Mahkota merupakan objek yang penting dalam masyarakat Melayu terutamanya berkaitan dengan pemerintahan monarki samada Raja dan Ratu. Mahkota merupakan sebahagian daripada perhiasan diraja dimana diletakkan di atas kepala ratu. Mahkota yang baik dihasilkan daripada emas dan batu permata. Oleh yang demikian motif mahkota dalam tenunan songket menyimbolkan sanjungan, kehormatan dan kasih sayang. Dipercayai penggunaan motif mahkota ini mula digunakan dalam tenunan songket setelah peristiwa bersejarah keluarga diraja British melawat negara ini.

Motif kaligrafi adalah salah satu daripada usaha kreatif untuk memindahkan idea daripada dunia bentuk alam kepada bentuk tulisan khat atau kaligrafi Islam. Dalam konteks khat, Picasso pernah berkata beliau berasa dirinya begitu kecil dan tertinggal di belakang dalam dunia seni apabila beliau menemui seni Muslim iaitu khat. Disamping mempunyai unsur-unsur persuratan dan pengucapan yang tinggi, khat juga mempunyai ciri penyampaian, ajaran agama, cara untuk memudahkan dan ketajaman minda. Khat bermula dengan gaya kufi dan selainnya adalah pembaharuan-pembaharuan atau inovasi yang dilakukan antaranya Thuluth, Farisi, Nasikh, Raihani, Juli-Diwani, Maghribi dan Taliq. Elemen keindahan dan estetik telah menarik kaligrafi ke dalam seni tenunan songket yang boleh dilihat sebagai mempunyai citrasa berunsur Islam. Setiap konsep boleh dihayati dari segi fizikal seperti perletakan, bentuk, aturan dan juga kedalaman mesej pengetahuan, falsafah, dan merujuk kepada Allah Yang Maha Agung dan Besar.

Manusia sering disarankan untuk bersahabat dengan alam, samada di darat atau di lautam. Motif yang dihiaskan di dalam tenunan songket adalah salah satu cara manifestasi cara cinta secara simbolik yang boleh lihat seperti yang digambarkan pada motif-motif gunungan dan ombak. Dalam konteks kesenian Melayu, konsep ‘gunung’ boleh dilihat pada tepak sireh, gubahan dan susunan sireh, nasi ambang, sireh junjung dan pulut kuning. Al-Ghazalie juga memberi penekanan kepada simbol ‘gunung’ sebagai tempat Tuhan menyampaikan Pengetahuan-Nya, rahmat dan kasih sayang. Walaubagaimanapun tidak semudah itu untuk mendapat rahmat daripada Tuhan. Seseorang itu perlu menghadapi ujian dan cabaran sebelum menemui rahmat Tuhan. Oleh itu, dalam mencari ketenangan, seseorang itu mestilah terus-menerus mengamalkan suruhan agama. Tuhan tidak akan merahmati hambanya sekiranya hambanya tidak berterima kasih.

Motif ombak laut juga disusun secara halus dan merupakan fenomena alam yang sangat cantik dan menarik. Elemen air seperti ombak laut mempunyai makna yang tersendiri, jika dibandingkan dengan elemen yang lain seperti tanah, api dan udara. Ombak menghasilkan buih-buih pada permukaan air simbol kepada kita betapa kecilnya manusia seperti buih-buih di lautan jika dibandingkan dengan Pencipta. Oleh yang demikian, sebahagian manusia, kita seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah di atas setiap anugerah yang dikurniakan oleh-Nya.

Masyarakat Melayu mempunyai  makanan-makanan yang menarik dan keunikan  kerekter yang tersendiri. Selain kaya dengan dengan makanan tradisi, kuih-muih tradisi Melayu adalah tarikan utamanya. Kebanyakan kuih-muih Melayu tidak sahaja unik dan klasik malah terkenal dengan kelazatan dan keenakkan citarasanya. Perkara ini bukan sahaja diakui oleh orang Melayu tetapi juga masyarakat luar.

Penenun songket menggunakan motif kuih-muih Melayu kerana populariti kuih itu sejak dahulu lagi. Sesetengah motif diambil daripada kuih ini adalah seperti Tepung Talam dan Potong Wajik. Berdasarkan sejarah kedua-dua kuih ini adalah makanan pilihan bagi golongan diraja. Pada hari ini kedua-dua kuih ini disediakan untuk acara istimewa seperti majlis pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Dalam budaya orang Melayu, mengamalkan cara menyambut tetamu yang datang dengan menghidangkan mereka dengan kuih-muih sebagai simbol mengalu-alukan kedatangan, tanda persahabatan dan hubungan yang akrab antara satu sama lain. Keunikan makanan ini dapat dilihat dengan bagaimana cara kuih ini dipotong.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, seni tenuan songket Melayu kaya dengan maksud budaya dan falsafah. Daripada perspektif in, tenunan songket dan penggunaanya membantu dalam menunjukkan kewujudan ketertiban, nilai dan etika yang turun temurun dan dimiliki oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun tidak cukup menghayati songket dengan hanya melihat dan merenung keindahan fizikal yang ada padanya. Penyelidikan dan apresiasi pada motif songket seharusnya diteruskan untuk mencari pengertian, falsafah atau mesej yang menjadi simbol adat budaya kepada bangsa Melayu. Oleh yang demikian, harus ditekankan semula bahawa seni tenunan songket wajar dianggap sebagai ‘Seni Warisan Agung’ yang perlu di hormati dan dipelihara.




Bibliografi

Azah Aziz (1990), Selayang Kenangan, AMK Interaksi, Kuala Lumpur

A Malaysian Touch, Textiles for The ‘New Millennium (1999), Perbadanan Kraftangan Malaysia.

Hairuddin Harun (2001), Kosmologi Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Motif-motif Etnik Malaysia, Perbadanan Kraftangan Malaysia

Maznah Mohamad (1996), The Malay Handbloom Weavers: A Study of the Rise and Decling of Traditinal Manufacture, Institute of Southeast Asian Studies.

Norwani Mohd. Nawawi (2002), Songket Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Panofsky, Erwin (1955), Meaning in the Visual Arts, The University of Chicago Press, United States.

Rahman Bujang dan Nor Azlin Hamidon (2002), Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur.

Selvanayagam, Grace Impam (1991), Songket Malaysia’s Woven Treasure, Oxford University Press Pte Ltd, Singapore

Siti Zainon Ismail (1986), Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Siti Zainon Ismail (1991), “Makna Seni Tampak-Seni Halus: Pendekatan Sosio-Budya dan Tradisi Kesinambungan dalam Seni Lukis Sezaman”, INTI, Jurnal Perintis Pendidikan Seni lukis dan Senireka, Institut Teknologi Mara, Shah Alam

Songket, Satu Warisan Malaysia (1999), Galeri Petronas, Kuala Lumpur

Syed Ahmad Jamal (1992), Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.





            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan