Ahad, 16 April 2017

Sumbangan seni Siti Zainon wajar diiktiraf

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik, 'Sumbangan seni Siti Zainon wajar diiktiraf', Berita Harian (Sastera & Budaya) Rabu 19 April 2017, ms36.


Pengenalan
Pada 10 April bertempat di Galeri Seni UPSI, Tanjung Malim berlangsung pameran solo ‘Siti Zainon Ismail: Dari Jogja ke Bawah Bayu’ iaitu sebuah pemeran karya pilihan dari 1970 hingga 2016. Manakala pada sesi petangya pula dianjurkan pula Seminar Etos Kesenian Visual sebagai apresiasi terhadap pengkaryaan beliau.

Saya berkesempatan untuk melihat hampir 60 buah karya yang dipamerkan sepanjang 50 tahun pengkaryaan beliau dalam bidang seni dan sastera. Karya yang dipamerkan di dalam pameran ini terdiri daripada lukisan, catan, arca dan buku-buku penulisan beliau.

Bagi saya pameran ini adalah sebuah mini retrospektif yang menghimpunkan karya terpilih setiap dekad daripada era pembentukan beliau menjadi pelukis semasa di Akademi Seni Rupa Indonesi ASRI  sehinggalah era-era perkelanaan pengkaryaan beliau di nusantara.

Bonda Seni Tradisi Melayu
Ia mengesahkan lagi bahawa Siti Zainon adalah seniman yang kuat berpegang kepada akar-akar peribumi bangsa Alam Melayu bukan sahaja dari aspek kepelukisan tetapi juga kepenyairan yang bermula sejak beliau bersama kumpulan Anak Alam lagi.

Haruskah beliau disamakan dengan seniman  kontemporari pada hari ini? Pada saya meletakkan beliau sebagai ibu seni kontemporari di dalam seminar itu adalah tidak kena pada tempatnya selain perlu melihat kesenian Siti Zainon bukan diwacanakan dari sudut kaca Euro-Amerika tetapi Asia Tenggara.

Apakah itu seni kontemporari? Seni kontemporari adalah gerakan antarabangsa bermula di akhir 60 an dan awal 70 an di Amerika dan Eropah sebagai satu manifestasi protes seniman menolak seni moden.

Krisis penolakan ini mempunyai kaitan dengan kegagalan modenisme itu sendiri yang bermaksud ‘baru’ atau zaman pembaharuan yang melahirkan revolusi perindustrian pada abad ke-18 yang menolak feudalisme.

Maka lahirlah jiwa berontak yang disebut dengan pelbagai istilah yang dicipta oleh sejarahwan mereka dalam mengenali diri manusia ini misalnya anti moden, pasca moden, avant-gardes baharu, pasca struktulis, hypermodenisme, kontemporari, sezaman dan sewaktu dengannya.

Adakah gerakan ini bahaya dan menjadi ancaman kepada budaya kita? Sudah terbukti ia semakin terhakis dek pembawaannya bukan lagi melalui peperangan atau paksaan seperti yang dialami oleh bekas-bekas anak jajahan yang mewujudkan kritik pasca-kolonialisme tetapi melalui pengkaji-pengkaji budaya ketimuran untuk mengaburi mata dan fikiran.

Walaupun era kolonial telah berakhir namun pengajaran kesenian kita masih merujuk rangka struktur yang diatur mereka dan hanya disalin dan ditampal daripada sejak pelajar kita dilatih di luar, begitulah terpesonanya mereka dengan  kontemporari.

Sedikit demi sedikit nilai-nilai tradisi itu semakin tercabut dari akarnya. Apakah masalahnya dan kesenimanan kita? Dalam konteks praktis seniman Melayu-Islam, terdapat cubaan halus untuk menjauhkan seniman Muslim terhadap agama dan keimanan mereka.

Kita lihat keterhakisan nilai-nilai Melayu-Islam dalam berkesenian ke arah keindahan, kebenaran dan ketenangan mengancam seniman-seniman muda kita terhadap penciptaan karya-karya mereka pada hari ini yang menimbulkan keraguan, ketegangan dan pembaziran. Terpesona dengan kontemporari yang melulu pengkaryaan mereka penuh dengan kosmetik, mereka seolah-olah kehilangan pengabdian diri.

Ancaman dan cubaan inilah yang dipertahankan oleh tradisionalis seperti Siti Zainon Ismail dan rakan-rakannya seperti Fatimah Chik dan Med Anuar Ismail misalnya dalam menyelamatkan dan mewariskan seni tradisi Melayu kepada anak-anak kita.


Kesimpulan
Sesungguhnya kasihnya bonda kepada anak-anaknya adalah dengan mengasihi, memupuk dan mendidik mereka mencintai peninggalan warisan tradisi budaya bangsa. Begitulah  Siti Zainon Ismail telah 50 tahun mengumpul, menyelidik, melukis dan menulis khazanah seni budaya kita tanpa penat dan jemu selayaknya beliau diberi pengiktirafan seni tertinggi negara sebagai Bonda Seni Tradisi Melayu.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan