Ahad, 5 Februari 2017

Taman Misteri Gunung Ledang (Tun Mamat di Taman Larangan)


Oleh: Idarina Ibrahim
Kurator jemputan 


Faizal Sidik mengimarahkan lagi persada seni visual negara dengan mengadakan pameran solonya yang ke tiga di galeri Muzium Seni Asia dengan menyambut cabaran revolusi ekonomi 2017, Universiti Malaya hanya menyediakan lokasi dan keseluruhan kos adalah kepada tuan pengkarya dan pasukan mencari resolusi.

Tabik hormat buat Faizal Sidik yang menyatakan pameran solo ini adalah untuk mencanangkan bahawa apa saja revolusi yang sedang berlaku, beliau masih berdiri teguh memartabatkan karya seni visual buat negara. Merenung ke jendela masa, beliau gigih dengan pasti mencari ruang dan peluang untuk mengisi seni visual Malaysia ke peringkat dunia.

Pameran ‘Faizal Sidik: Catan Songket’ adalah adaptasi prihatin Faizal Sidik terhadap manuskip Sejarah Melayu atau SULALAT US-SALATIN yang mempunyai pelbagai versi dan salinannya yang amat banyak sehingga menjangkau 32 salinan (Cheah, 2010:vii). Kesemua salinan manuskrip ini tersimpan di beberapa perpustakaan utama seperti di kota London, Belanda, Jakarta dan Rusia.

Faizal Sidik yang saya kenali seorang yang tekun dan fokus dalam setiap kajian dan kepekaannya dalam memahami ilmu seni halus. Beliau telah memusatkannya dalam memahami keindahan dan nilai-nilai estetika penulisan Sulalat us-Salatin dibabak Tun Mamat memasuki sebuah taman kayangan di lereng Gunung Ledang.

Seni keindahan dan keluhuran penulisan manuskrip tadi telah memberi satu keluhuran pada diri Faizal Sidik merealisasikan visualnya ke kanvas dengan mengapai keindahan seni tenunan songket untuk digabungkan.

Disini penghayat harus merasai budi bicara luhur seni visual Faizal Sidik dalam mengungkap karya seni siri Taman Misteri Gunung Ledang. Beliau mengukir keluhuran dan keindahan bicara manuskrip Sejarah Melayu dengan berhati-hati, memikirkan medium yang berpadanan dengan mendemontrasikan estetika taman yang dimasuki oleh Tun Mamat.

Dasar teori Edmund Burke diperhalusi dan dengan itu juga Faizal Sidik merungkai karya siri-siri Taman Misteri Gunung Ledang dengan memasukkan teknik seni tenunan kain songket dibentangkan di ruang kanvas. Maka Faizal secara luhurnya telah menjaga butir bicara siri Taman Misteri Gunung Ledang melalui pendokumentasian keindahan taman itu kepada asas teknik tenunan songket yang selalu rapat dengan masyarakat Melayu.

Songket sedia diketahui indah dan mewah adalah suatu lambang kemegahan masyarakat nusantara dan ini semua dizahirkan melalui karya-karya siri Taman Misteri Gunung Ledang ini.

Karya-karya Faizal Sidik mengangkat kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wadah komunikasi dan di tampung dengan teknik visual songket lambang nilai estetika tanpa sempadan. Pasti ini ada keterbukaan dan perluasan minda beliau di dalam menyusuri setiap sempadan negara mencari
idea-idea baru.

Karya-karya seni Faizal Sidik membawa konotasi spiritual, justeru itu untuk memahami, penghayat amat perlu memahami kosmologi nilai keindahan dan spiritual. Asas kesenian tradisional telah bergabung disini melalui penulisan, pembuatan dan visual di dalam suatu karya.

Pencapaian idea-idea yang menjadi pencetus dan bernas seorang pengkarya amat perlu dalam mengasah masyarakat untuk berfikir secara kritis dan memahami strategi latihan minda untuk mengapai masyarakat intelektual.

Semoga pameran ‘Faizal Sidik: Catan Songket’ dan wacananya akan melahirkan revolusi pemikiran dan penglibatan strategi dalam menghasilkan karya-karya seni visual di masa hadapan. Selain masyarakat mendalami keseluruhan nilai-nilai seni tradisional dan moden dalam satu perhentian perjalanan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan