Selasa, 3 Mei 2016

Penilaian dan Kualiti Terjemahan di Malaysia: ITBN, Dermaga Seni dan SDI Media


Oleh: Faizal Sidik

Pengenalan
Dalam perkerjaan penterjemahan selain daripada aspek menterjmah, mengulas atau menganalisis suatu terjemah, faktor yang mendorong suatu terjemahan itu dilakukan dengan ‘baik’ atau ‘buruk’ bergantung pada penilaian dan kualiti bagaimana suatu teks itu diterjemah. Soalnya adakah terjemahan di Malaysia mempunyai satu standard penilaian dan kualitinya yang tersendiri? Bagi mencari jawapan ini beberapa kajian telah dijalankan sama ada melalui sumber primer atau sekunder.  Tiga badan atau pemain utama terjemahan di Malaysia yang dikaji adalah Institut Terjemahan dan Buku Negara sebagai peneraju utama di negara ini sebagai penterjemah buku. Manakala dua lagi adalah penterjemahan media iaitu Dermaga Seni dalam dan SDI Media  yang  memokuskan penterjemahan alih suara dan sari kata.


Penilaian dan Kualiti Terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Negara dalam penterjemahan buku.

Kegiatan penterjemahan secara rasmi di negara ini berlaku semasa zaman penjajahan iaitu selepas pembukaan Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak. Pegawai Inggeris O.T. Dusseck telah memohon kebenaran untuk menubuhkan “Badan Menterjemah” pada tahun 1924 yang ditukarkan nama menjadi Pejabat Karang Mengarang (PKM). Antara aktiviti yang terawal dilakukan oleh jabatan ini ialah menulis, menterjemah dan menyunting buku pelajaran dan novel. Boleh dikatakan sejarah penilaian penterjemahan di Malaysia berlaku seiring dengan penubuhan Pejabat Karang Mengarang pada awal 1920 an yang perlu menyenggara suntingan penulisan penterjemahan buku pelajaran dan novel itu tadi sebelum ianya dicetak. Selain menyunting kegiatan penilaian penterjemahan lain yang dijalankan diawal penubuhan jabatan ini adalah menerusi penganjuran kursus penyuntingan dalam melatih penterjamah-penterjemah baru.

Nama pejuang bahasa Melayu Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba tidak boleh dipisahkan daripada penubuhan Pejabat Karang Mengarang  di Maktab Perguruan Sultan Idris pada ketika itu. Beliau telah memainkan peranan besar dalam kegiatan penterjemahan dan penerbitan awal buku-buku penterjemahan di negara ini  sehingga beliau diberi gelaran Pendeta Za’ba atas ketokohan mengembangkan ilmu di dalam bahasa Melayu. Antara buku-buku yang dihasilkannya di samping buku terjemahan adalah ‘Ilmu Mengarang Melayu’ dan ‘Anak Raja dengan Anak Papa’ (The Prince and The Pauper),

Kesinambungan kegiatan penterjemahan pra dan selepas mencapai kemerdekaan diteruskan menerusi penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 Jun 1956 di Johor Baru. Sejurus selepas mencapai kemerdekaan untuk memusatkan perkembangan dan pemerkasaan bahasa Melayu pejabatnya dipindahkan ke Kuala Lumpur di bawah Jabatan Pelajaran. Bahagian Penterjemahan DBP telah menghasilkan banyak buku terjemahan. Buku awal mengenai penterjemahan dalam bahasa Melayu diterbitkan oleh DBP yang ditulis oleh Suffian Sahuri bertajuk ‘Panduan Menterjemah’.

Usaha penterjemahan buku kini dipindahkan kepada Institut Terjemahan Negara pada tahun 1994 yang kini bernama Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN). Disebabkan DBP sebagai sebuah badan kerajaan yang utama dalam buku-buku keilmuan yang tidak dibebankan kepada aspek mencari keuntungan yang lebih kepada penyuburan ilmu yang  perlu sebuah entiti baru, maka pada awalnya Institut Terjemahan Negara ditubuhkan yang asalnya adalah Bahagian Penterjemahan DBP. Institut ini bertanggungjawap untuk meneruskan usaha-usaha awal DBP untuk menterjemah buku asing ke dalam bahasa Melayau atau karya tempatan kepada bahasa asing dalam usaha untuk memandaikan rakyat.

Dalam kajian ini penulis telah memilih Institut Terjemahan dan Buku Negara dalam meninjau kaedah kualiti terjemah yang digunakan. Dalam perbualan dengan pegawai penilaian dalaman jabatan berkenaan terdapat garis panduan yang digunakan namun ia adalah bersifat dalaman dan tidak dapat didedahkan kepada umum. Penulis berpendapat adalah berguna sekiranya adanya manual garis panduan atau kriteria yang perlu dipatuhi ini dikongsi kepada umum terutamanya kepada penterjemah, jurubahasa atau penyunting agar dapat membuat penilaian awal dari pihak penterjemah terlebih dahulu sebelum menghantar cadangan manuskrip mereka kepada jabatan berkenaan untuk dinilai.

Selain itu daripada maklumat yang diperolehi daripada perbualan daripada pegawai berkenaan pendekataan terjemahan dari sudut linguistik yang digunakan dalam penilaian terjemahan. Penilaian mereka juga banyak melihat daripada aspek isi, bahasa, ejaan, tanda baca dan tekstualiti seperti yang terdapat di dalam buku Gaya Dewan. Penulis membuat kesimpulan bahawa mungkin sejarah awal penubuhan institusi ini adalah dari serpihan Bahagian Terjemahan DBP pada suatu ketika dahulu dan perpindahan kakitangan daripada DBP ke ITBN itu kebanyakannya adalah terdiri daripada Pegawai Perancang Bahasa, mungkin inilah yang mendorong kepada penterjemahan  yang digunakan lebih menekankan aspek linguistik.

-          Walau bagaimanapun menurutnya lagi dengan adanya panel-panel luar yang terdiri daripada ahli-ahli akademik daripada instusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan lain-lain yang mana pengkhususan mereka lebih khusus kepada bidang penterjemahan dan bukan linguistik ia secara tidak langung membantu untuk mempertingkatkan lagi kualiti penilaian dari masa ke semasa. Universiti Sains Malaysia misalnya menawarkan program penterjemahan sepenuhnya diperingkat Sarjana Muda dan Sarjana Pengajian Penterjemahan. Penilaian kelayakan seseorangan penterjemah itu dapat dinilai latihan profesional yang diperolehinya yang dipantau oleh ahli-ahli akademik sebagai panel luar yang dilantik oleh ITBN.


Daripada temu bual itu juga institusi ini melakukan penilaian amalan profesional menerusi pensijilan, terutamanya sijil penterjemahan yang dikeluarkan oleh ITBN dalam menilai kelayakan seseorang penterjemah. Antara latihan yang dikendalikan oleh ITBN yang terus menjurus kepada terjemahan adalah latihan kursus yang dinamakan Latihan Penterjemahan Am. Kursus ini ditawarkan secara sepenuh masa iaitu selama sepuluh hari, manakala secara sambilan pula akan diadakan pada hari Sabtu selama sepuluh minggu. Latihan yang diberikan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai ilmu dan kemahiran asas dalam bidang terjemahan. Selain itu terdapat juga kursus Latihan Bahasa dan Latihan Lain yang menekankan kursus penyarikataan, kejurubahasaan dan penyuntingan. Dari aspek penilaian kursus-kursus ini kepada penterjemah, penilaian tahap pencapaian akan diserahkan kepada peserta setelah tamat program.

Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai satu pakej untuk penerbitan buku umum yang dinamakan sebagai Penerbitan Berpekej DBP. Tawaran ini terbuka kepada awam yang mahu penulisan mereka diterbitkan. Borang tawaran ini boleh dimuat turun di dalam laman web DBP sendiri. Penulis mempunyai pengalaman menghantar sebuah manuskrip yang mengumpul hasil-hasil penulisan penulis yang pernah diterbitkan sebelum ini sama ada di dalam majalah terbitan DBP, akhbar, katalog pameran dan juga di dalam blog. Oleh sebab tidak mempunyai maklumat parimeter apa yang digunakan oleh ITBN dalam melantik penterjemah dan penilaian yang digunakan, penulis menggunkan parimeter perlantikan penulis daripada Tawaran Berpekej DBP (Lihat lampiran) sebagai sandaran disebabkan ITBN pada suatu ketika dahaulu adalah sebahagian daripada DBP. Antara parimeter perlantikan penulis dan syarat-syarat berdasarkan parimeter di bawah:

i. Mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf oleh kerajaan.
ii.Menulis dalam bahasa Melayu. Penulisan dalam bahasa lain, seperti bahasa          Inggeris   dibolehkan bagi penulisan bertemakan Malaysiana.
iii.Karya mestilah karya asli. Tiada unsur plagiarisme.
iv.Manuskrip mestilah disiapkan dalam tempoh kurang daripada enam (6)    bulan   (mengikut bidang dan peringkat).
v.Manuskrip  ditaip langkau dua baris, saiz teks 12 poin, rupa taip Times Roma ataupun Arial.
vi.Manuskrip dihantar dalam bentuk salinan lembut (cakera padat) dan salinanbercetak.
vii.Ilustrasi hendaklah dihantar menggunakan CD-ROM ataupun JPEG.
viii.Penulis bersedia memberikan kerjasama kepada penerbit untuk      menyediakanilustrasi, membuat penambahbaikan manuskrip, menyemak  pruf dan menyediakan indeks.
ix.Penulis menghantar surat serahan manuskrip dan memperakui bahaw manuskrip tersebut adalah karya asli penulis.
x.Penulis hendaklah menyertakan borang permohonan bersama-sama manuskrip yang dihantar ke DBP.

Penilaian dan Kualiti Terjemahan Dermaga Seni dalam Alih Suara

Dermaga Seni Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2002 oleh Puan Hayati Yusof untuk menyokong perkembangan yang semakin membangun terhadap permintaan Kandungan dan Media di rantau Asia Tenggara. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri media, Dermaga Seni menyediakan khidmat seperti penterjemahan, alih suara dan suara latar. Selain daripada itu Dermaga Seni juga meneroka dalam bidang produksi media, perolehan dan pengedaran dengan membina jaringannya di sekitar Asia Pasifik. Dermaga Seni kini beroperasi di A-3-10 Setiawangsa Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa , Kula Lumpur.

Tiga skop utama dalam penghasilan produk dan perkhidmatannya iaitu penyediaan kandungan (content solution), penghasilan produk (production solution) dan penghasilan lokalisasi (localization solution). Pengkajian mengenai penilaian dan kualiti terjemahan ke atas Dermaga Seni lebih memokuskan kepada skop yang ketiga iaitu penghasilan lokalisasi yang menyediakan khidmat terjemahan, alih suara, pengurusan bakat dan rakaman produk. Daripada ceramah yang diberikan oleh pengasas Dermaga Seni sendiri itu Puan Hayati Yusof dan beberapa kakitangannya yang berkongsi pengalaman profesional industri sempena Syarahan Jemputan: Penterjemahan dan Kerjaya di IPS USM, Kuala Lumpur.

Penglibatan Dermaga Seni dalam penghasilan lokalisasi dijalankan secara langsung dan tidak langung dengan memberi penekanan kepada pengurusan, teknikal seperti juruaudio, penterjemahan, pengalih suara dan sebagai vendor atau klien untuk penyiar seperti Astro dan HBO. Dalam pengalihan suara selain daripada dua syarikat penyiar tadi Dermaga Seni mendapat permintaan untuk menterjemah dan mengalih suarakan drama-drama Korea dan juga dokumentari. Menurutnya situasi semasa jika dibanding dengan Malaysia dengan negara-negara jiran yang lain di Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia, 90 % program rancangan dalam penyiaran di negara berkenaan adalah pengalihan suara. Sehingga kini hanya 20 % sahaja program tv di siarkan di Malaysia dialih suarakan. Penilaian serantau ini menunjukkan bahawa dinegara-negara berkenaan kerajaan yang memerintah mengamalkan ketegasan dan lebih mengutamakan bahasa kebangsaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyatnya. Oleh yang demikian pihak penyiaran mahu tidak mahu harus mengikut dasar dan polisi yang ditetapkan.

Sungguhpun tiada garis panduan yang standard di Malaysia dalam penterjemahan alih suara, namun kreteria atau protokol dalaman yang dibuat oleh Dermaga Seni boleh dijadikan sebagai sandaran. Dalam penterjemahan alih suara aspek yang di uji bahan-bahan yang diterima daripada pemberi tugas iaitu klien iaitu skrip asal dan terjemahan skrip alih suara. Pemilihan bakat juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk watak. Pengalih suara yang sesuai akan menghidupkan watak yang dibawa. Beliau menyarankan bahawa untuk mendapat kualiti yang baik 30 karakter sebaiknya dibawa oleh 8 orang sahaja. Jika dibuat perhitungan seorang bakat itu akan membawa 3 hingga 4 karakter di dalam satu-satu masa. Bagi proses pemilihan bakat ini sesi-sesi ujian suara atau ‘pitching’ diadakan sendiri di studio Dermaga Seni.

Aspek yang dinilai tidak terhenti di situ sahaja semasa proses rakaman skrip terjemahan alih suara perlu mengikut gerakan bibir watak yang dilakonkan, bibiran atau lipsing ini hendaklah selari dengan percakapan watak. Ketidakselarian bibiran akan menyebabkan penonton dapat melihat kesilapan dari segi pengucapan watak yang tidak sekata. Di sini kreativiti diperlukan dalam melakukan penyelesaian. Misalnya pendekatan terjemahan berlebihan hendaklah dilakukan sekiranya hasil terjemahan skrip asal agak pendek  jika dibandingkan bibiran watak yang masih meneruskan percakapannya. Melalui proses pengadunan rakaman ini sendiri kita dapat lihat banyak kesilapan yang akan diperbetulkan pada ketika itu juga dari segi intonasi atau ujaran tinggi rendah nada suara sehingga juruaudio berpuas hati pada kesan yang diinginkan.


Penilaian dan Kualiti Terjemahan SDI Media dalam Sari Kata

SDI Media Group, Inc. ditubuhkan pada tahun 1965. SDI Media atau nama penuhnya Subtitling Dubbing International adalah sebuah syarikat penyarikataan dan pengalih suara antarabangsa yang berpengkalan di Culver City, California, Amerika Syarikat. SDI Media beroperasi di 37 buah negara iaitu di benua Amerika, Eropah dan Asia adalah pemain utama dunia dalam menyediakan khidmat terjemahan sari kata dan sari kata ke 80 bahasa dunia. Syarikat ini mempunyai lebih 1000 kakitangan tetap dan mempunyai jaringan lebih 4000 penterjemah bebas. Pusat hab Asia Tenggara SDI Media terletak di Filipina. Syarikat ini membuka studionya di sini dengan nama SDI Media (M) Sdn Bhd  pada tahun 2008. Kini berpejabat di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya iaitu B-09-03A Menara Bata yang terletak di PJ Trade Centre.

Setelah enam belas tahun bertapak di Malaysia SDI Media memberi khidmat penterjemahan sari kata dan alih suara daripada pelbagai platform penyiaran dan produksi seperti Asto, BBC, Cartoon Network, Discovery Channel, Sony Pictures, Sony AXN dan Universal. Namun SDI Media tidak sunyi penilaian khalayak. Selama enam belas tahun di dalam penterjemahan sari kata masih tiada lagi garis panduan kaedah penilaian yang seragam oleh syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini. Jadi ia menjadi kesukaran kepada syarikat dan terpaksa menggunakan budi bicara sendiri dalam menyelesaikan krisis, misalnya penggunaan  istilah sari kata seperti ‘babi’, ‘bodoh’ tidak boleh digunakan kerana ia bersifat sensitif kepada penonton negara ini. Namun apa yang merunsingkan beliau adalah istilah berkenaan pula boleh digunakan di dalam media cetak seperti surat khabar, majalah dan lain-lain. Istilah ‘babi’ misalnya amat sensetif bagai penonton Melayu beragama Islam, dan ia akan dipadankan dengan ‘khinzir’. Sungguhpun begitu menurutnya  akan memberi kesan yang berbeza. Selain itu sekiranya sari kata teks bahasa sumber menggunakan nama-nama di dalam kitab Injil, ia tidak akan diterjemah dan digugurkan.

Selain itu penilaian dari segi bias pemilihan istilah linguistik terjemahan sari kata yang juga menjadi isu. Penggunaan bahasa Indonesia seperti ‘parkir’, ‘berpacaran’, ‘bercumbuan’, ‘kalian’, perlu dihindarkan. SDI misalnya mendapat teguran daripada syarikat penyiaran daripada negara jiran kerana menggunakan istilah ‘parkir’ dalam sari kata di dalam rancangan televisyen di negara berkenaan. Sungguhpun istilah ‘parkir’ adalah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris iaitu ‘parking’ yang dalam bahasa Melayu bermaksud ‘letak kereta’ atau ‘letak kenderaan’. Mungkin penggunaannya secara meluas dan lebih ringkas oleh rakyat negara ini dan negara jiran Indonesia yang menyebabkan istilah bahasa sumber diguna pakai dalam penggunaan seharian. Istilah yang mudah dengan dua suku kata iaitu (par+king) daripada 5 suku kata (le+tak, ke+re+ta) untuk ‘letak kereta’ itu yang menyebabkan ‘parkir’ lebih mudah diterima. Walau bagaimanapun mungkin di negara jiran yang tidak menerima istilah ‘parkir’ itu kerana latar sejarah hitam silam yang antara kedua-dua negara yang menyebabkan sebarang yang bersifat atau berciri keindonesiaan terutamanya jika dipancarkan oleh media milik kerajaan pasti akan menaikkan sentimen.

Penulis membuat penilaian sendiri mungkin disebabkan negara Singapura tidak menyertai MABBIM yang menyebabkan bias lingustik ini terjadi. MABBIM iaitu Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia yang merupakan badan kebahasan serantau yang ditbuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia di ranatau ini. Sehingga kini negara Singapura masih menjadi negara pemerhati yang menyebabkan tiadanya kesepakatan dalam menggunakan istilah untuk disalurkan pemerintah.

Istilah Sumber
Istilah Indonesia
Istilah Brunei
Istilah Malaysia
road parking
parkir jalan
letak kereta jalan
parkir jalan
courtship
berpacaran
berpacaran
berpacaran
multiplication
kalian
Tiada
daraban

Istilah MABBIM di dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP

Penilaian linguistik tidak hanya berhenti sekadar itu, pemilihan bahasa yang salah pasti akan mengundang kesalah tafsiran, misalnya istilah kata ganti nama. Istilah kata nama kedua ‘mereka’ tidak boleh digunakan untuk haiwan. Kata ganti nama ‘aku’ dan ‘kau’ tidak boleh digunakan, ia handaklah diganti dengan ‘saya’ dan ‘awak’. Penggunaan istilah ‘ianya’ kepada suku kata yang lebih pendek kepada ‘ia’. Perkataan-perkataan yang kasar dalam terjemahan sari kata perlu dielak untuk digunakan misalnya ‘bastard’ padanan ‘anak haram’ tidak sesuai digunakan untuk penonton di Malaysia terutamnya oleh penonton muda kerana ia akan mempengaruhi tingkah laku mereka yang sedang meningkat dewasa. Manakala itu penggunaan pasangan ejaan yang terkini pasti akan mendekatkan kefahaman pengguna sari kata terhadap apa yang ditonton.

Bahasa sumber
Penggunaan kata yang tidak sesuai/salah
Pengguanaan kata yang sesuai dan tepat
I
aku
saya
you
kau
awak
he, she, it
ianya
ia
bastard
anak haram / luar nikah
elipsis
pig
babi
elipsis
stupid
bodoh
elipsis
                 
                   Penggunaan sari  kata ganti nama diri dan kata nama yang salah dan tepat oleh SDI Media

Kesimpulan
Daripada analisis penilaian terjemahan yang dilakukan didapati bidang terjemahan di Malaysia tidak mempunyai satu standard penilaian dan kualiti yang seragam dan sama. Penilaian dan kualiti terjemahan di Malaysia masih lagi beroperasi mengikut skop tugas badan dan syarikat masing-masing. Misalnya agak sukar untuk mendapatkan maklumat daripada badan kerajaan seperti Institut Terjemahan dan Buku Negara ITBN jika dibandingkan dengan pihak swasta seperti Dermaga Seni dan SDI Media. Kesukaran mereka untuk berkongsi mengenai garis paduan ini daripada badan kerajaan ini mungkin telah tertakluk kepada akta-akta penubuhannya yang termaktub sebagai sebuah syarikat kerajaan, oleh yang demikian agensi ini agak keberatan untuk mengedarkan secara terbuka sebarang dokumen yang dianggap sulit. Berbanding dengan dua syarikat swasta yang dikaji dalam penilaian ini, pihak mereka agak terbuka untuk memberitahu garis panduan yang perlu dipatuhi dari segi penilaian dan kesilapan semasa menterjemah.

Sungguhpun paling terkini telah ada persatuan yang ditubuhkan untuk membela dan memperjuangkan penterjemahan alih suara dengan adanya Persatuan Seni Kreatif dan Alih Suara (Malaysia Creative Art and Voice Association) atau singkatnya MAVA terhadap isu ini. Adalah baiknya sekiranya bidang terjemahan di Malaysia mempunyai model yang seragam yang menjadi garis panduan kepada penterjemah dan bakal penterjemah yang akan terjun ke dalam bidang ini agar sebarang kekeliruan diantara penterjemah, majikan dan pelanggan dapat ditangani dalam suasana yang harmoni. Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) dan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) boleh bukan sahaja menjadi payung kepada para penterjemah tetapi juga sebagai badan yang paling berautoriti dalam mengariskan cadangannya kepada kerajaan.


Rujukan:

Ezaleena Mohd. Khalid. & Hasuria Che Omar, 2009. “Penilaian Terjemahan: Perbandingan antara Terjemahan Bertulis dengan Terjemahan Audiovisual”.  Dalam  Hasuria Che Omar, Rokiah Awang, Syed Zainal Ariff Syed Jamaluddin, Noriah Mohamed, (Ed.), Bahasa Verbal dan Bukan Verbal I, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara.

Goh Sang Seong, 2009. “Kesalahan Bahasa Dalam Terjemahan Nama Perniagaan Cina”. Dalam Hasuria Che Omar dan Rokiah Awang, (Ed.), Persidangan Penterjemahan  Antarabangsa: Kelestarian Bidang Penterjemahan, Kuala Lumpur, Persatuan Penterjemah Malaysia.

Hayati Yusof, Syarahan Jemputan: Penterjemahan dan Kerjaya I – Dermaga Seni Sdn Bhd  di Institut Pengajian Siswazah, IPS USM, Kuala Lumpur, 5 Mac 2016.

House, J . 2013 (2009). Penterjemahan, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara, ms. 43-57.

Kussmaul, P. 2015 (1995). Melatih Penterjemah, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara, ms. 145-167.

Rokiah Awang, 2013. “Penilaian Terjemahan”. Dalam  Haslina Haroon dan Hasuria Che Omar, (Ed.), dalam Asas Terjemahan dan Interpritasi, Univerisiti Sains Malaysia, ms. 92-109





1 ulasan: