Khamis, 28 Mei 2015

Hoessein Enas:Koleksi Balai Seni Visual Negara

                                                                  Oleh: Faizal Sidik



Faizal Sidik (2017),'Hoessein Enas di Balai Seni Visual Negara', Dewan Budaya, Bil 4. 2017 (April). Dewan Bahasa dan Pustaka, ms 34-37.






“Jika anda mahu menjadi pelukis, 
seni anda mestilah dijadikan hidup anda
dan hidup anda mestilah dijadikan seni anda”

Hoessein Enas



Pengenalan
Balai Seni Visual Negara ditubuhkan pada tahun 1958. Sejarah awal pada tahun permulaannya itu BSVN hanya memiliki 4 buah karya hasil daripada hadiah yang didermakan. Empat buah karya berkenaan adalah karya Patrick Ng Kah Onn iaitu ‘Solomon Bermain Piano di Stadium Chin Woo’ (1953), Chuah Thean Teng ‘Perayaan Pulau Pinang’ (1952), Howard Barron ‘H.N. Ridley C.M.G’ (1958) dan karya mengenai pelukis dalam esei ini iaitu Hoessein Enas  bertajuk ‘Potret Sendiri-Self Portrait’ (1958). Sebuah badan  yang dinamakan Jawatankuasa Perolehan Seni Visual Negara  bertanggungjawab dalam membuat perolehan karya-karya untuk dijadikan Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Perolehan karya BSVN diperolehi samada melalui pembelian, komisen dan  hadiah. Sepanjang penubuhannya selama 57 tahun institusi seni ini telah mengumpul sebanyak lebih 4000 karya seni dalam pelbagai medium seni visual seperti catan, arca, cetakan, lukisan, seramik, fotografi, instalasi dan media baru.  Salah satu koleksi pelukis individu BSVN yang terbesar dalam pengkoleksiannya ialah karya pelukis Hoessein Enas.

Hoessein Enas
Dato Hoessein Enas atau nama penuhnya Mohamed Hoessein Bin Enas dilahirkan pada tahun 1924 di Bogor, Indonesia. Pada tahun 1948 berhijrah ke Malaya pada ketika itu dari Singapura beliau Pulau Pinang dan kemudian ke Kuala Lumpur. Hossein Enas bukanlah asing dalam seni lukis Malaysia beliau merupakan salah seorang pelukis figura yang realisma terawal di negara ini yang digelar ‘Bapa Lukisan Potret Malaysia’. Beliau dikatakan mendapatan pendidikan seni awal secara tidak formal daripada tuisyen yang diberikan oleh pelukis Jepun daripada 1942 hingga 1944 semasa penjajahan Jepun di Indonesia dimana seorang pegawai Jepun telah memberikan beliau cat minyak. Walaupun belajar seni melalui pengalaman sendiri, namanya sebaris dengan pelukis Asia Tenggara yang lain yang bergerak dengan aliran itu seperti Raden Salleh, Basuki Abdullah dan Fernando  Amorsolo.

Karya-karyanya dikatakan cukup kuat dengan pengaruh  pencahayaan pelukis besar  Belanda yang beraliran Realisma Eropah seperti Rembrandt dan Vermeer. Beliau telah mengadakan banyak pameran berkumpulan dan perseorangan sepanjang hayatnya. Antaranya pameran solo Hoessein Enas ialah pada tahun 1960 di Charniel Gallery, Chelsea, London dan pada tahun 1966 di The Art Gallery, Pulau Pinang. Balai Seni Visual Negara sebagai sebuah galeri seni utama negara turut pernah  mengadakan pameran untuknya melalui sebuah pameran retrospektif untuk mengimbau semula karya-karya pelukis ini pada tahun 1966.

Nama Hoessein Enas cukup sinonim dengan sebuah gerakan seni iaitu Angkatan Pelukis Semenanjung yang masih wujud sehingga hari ini. Angkatan Pelukis SeMalaysia  atau APS (dahulu Majlis Kesenian Melayu) diasaskan oleh beliau pada tahun 1956. APS adalah sebuah persatuan pelukis yang terawal di Malaya pada ketika itu yang menyatukan pelukis-pelukis yang aktif  di Semenanjung Tanah Melayu. Persatuan seni ini memperjuangkan manifesto ‘Seni dan Masyarakat’ yang berpegang kepada lukisan figura dan potret sebagai medium dalam menyatakan ekspresi meminjam daripada gagasan ‘Seni untuk Masyarakat’ oleh Angkatan Sasterawan Singapura 50 atau ASAS 50 . Atas usaha dan kegigihan beliau dalam mengerakkan  kumpulan seni berkenaan, pada tahun 1960 beliau telah diberi hadiahperjalanan belajar selama setahun oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO dibawah Unesco Fellowship dan Asian Foundation. Pada tahun 1968 beliau menerima United State Fellowship dan pada tahun yang sama sehingga 1976 dianugerahkan Colombo Plan Award.

Antara kejayaan lain dan pingat yang telah diperolehi sepanjang hayatnya  ialah pada tahun 1963 lukisan-lukisanya telah dijadikan buku bergambar yang bertajuk ‘Malaysians’ oleh Kumpulan Syarikat Shell. Sejak tahun 1948 beliau banyak melukis potret Menteri-Menteri Besar, golongan bangsawan dan beberapa orang Sultan dan selepas lebih 30 tahun berkarya beliau telah diangkat sebagai Pelukis Potret Diraja oleh Sultan Selangor pada tahun 1990. Atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang kesenian kepada Istana Negeri itu, lalu Hoessein Enas telah diberi gelaran Datuk pada tahun 1991 oleh Sultan Selangor pada ketika itu.Beliau juga pernah menganggotai Ahli Lembaga Amanah Seni Visual Negara sehingga tahun 1989.

Ramai yang tidak menyedari bahawa Hoessein Enas  adalah antara artis Melayu dan Malaysia yang terawal lukisan-lukisannya dilelong di rumah lelongan terkenal iaitu Christie dan Sotheby. Kali pertama karyanya memasuki pasaran kedua itu atau secondary market adalah pada tahun 1994 antaranya pada lelongan seni karya-karya dari Asia Tenggara iaitu Christie’s Auction of S.E. Asian Painting dan Sotheby’s Auction of S.E. Asian Painting di Singapura. Daripada tahun 1994 hingga 2001 terdapat 10 lelongan karya-karya beliau yang dilelong semula. Sepuluh tahun kemudian iaitu pada 2010 barulah rumah lelongan tempatan seperti Henry Butcher Malaysia, KL Lifestyle dan The Edge Auction membuat lelongan karya-karyanya. Perihal pasaran seni menunjukkan karya-karya beliau bernilai tinggi dan mempunyai permintaan untuk dimiliki bukan sahaja barang dagang untuk komoditi tetapi juga sebagai satu dokumentasi sejarah.

Sehingga kini BSVN mempunyai 35 karya Hoessein Enas dalam Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Perolehan karya-karya ini boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 17 karya melalui pembelian dan 18 karya melalui hadiah. Karya terawal Hoessein Enas dalam koleksi BSVN berdasarkan no indeks 1958-002 adalah sebuah karya potret diri beliau sendiri yang bertajuk ‘Potret Diri-Self Potret’ yang dihasilkan pada tahun 1958 dengan menggunakan pastel atas kertas bersaiz 44 x 35.5 cm. Karya ini  dihadiahkan oleh Majlis Kesenian Malaya. Manakala karya popular Hoessein Enas adalah atas hasil pembelian yang berada dalam koleksi BSVN adalah karya cat minyak yang bertajuk ‘Memetik Daun Tembakau Di Kelantan’ bertahun 1962 dengan saiz 95.5 x 121 cm bernombor indeks 1962-021.

Karya Hoessein Enas yang didapati melalui pemberian hadiah adalah daripada sumbangan syarikat minyak dan gas iaitu Kumpulan Syarikat Shell pada tahun 2007. Karya-karya ini pernah didokumentasikan di dalam sebuah buku berillustrasi yang diterbitkan oleh Malay Publishing House (kini MPH) pada tahun 1963 untuk syarikat korporat itu dengan tajuk ‘Malaysians’. 18 buah karya-karya komisen yang dihasilkan untuk Shell adalah sebuah karya yang bertemakan kebudayaan, pekerjaan dan adat istiadat yang digambarkan melalui kostum tempatan yang memperlihatkan identiti masyarakat yang berwajah Malaysia. Beliau telah mengambil masa selama 7 bulan untuk menghasilan lukisan-lukisan ini dengan menggunakan cat minyak, cat air dan kapur pastel. Selain daripada cari gali dan perdagangan minyak penerbitan oleh naungan Shell ini boleh dikatakan tanggung jawab sosial syarikat ini dalam memperkenalkan dan mempromosikan seni budaya Malaysia kepada luar melalui buku lukisan berillustrasi. Kini kebanyakan karya hadiah dan koleksi tetap ini sedang dipamerkan dalam pameran ‘Jelitawan’ atau ‘Beauties’ di Galeri Potret Nasional, Balai Seni Visual Negara sebagai penghormatan untuk Hoessein Enas.

Sejarah penghasilan karya-karya komisen ini bermula pada pada awal tahun tahun 1960 an apabila beliau telah ditawarkan bekerja oleh Frank Sullivan iaitu penaung seni telah menyerap Hoessein Enas masuk berkhidmat sebagai pegawai kerajaan iaitu pelukis penyelidikan di Jabatan Muzium dan Jabatan Orang Asli Malaya. Peluang beliau bekerja di jabatan-jabatan inilah yang membuatkan beliau banyak berkesempatan menghasikan catan figura dan potret orang-orang asal yang ditaja oleh Shell seperti yang terdapat dalam buku ‘Malaysians’ itu antaranya seperti ‘Bajau Horseman, North Borneo’, ‘Sumazau Dance’ dan ‘Negrito’ yang semuanya dihasilkan pada tahun 1963 sempena mengingati pembentukan negara ini yang dinamakan Penubuhan Malaysia yang menggabungkan Malaya dengan Sabah dan Sarawak yang memperlihatkan kepelbagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum..

Ada beberapa karya lagi yang boleh dijadikan ulasan dalam memperkayakan ilmu pemahaman kita melalui pembacaan seni atau apresiasi seni untuk membina penghayatan kepada karya-karya yang berada dalam Koleksi Tetap Seni Visual Negara antaranya seperti ‘Memetik Daun Tembakau di Kelantan’. Karya ini sangat klasik dan banyak dibuat ulasan-ulasan di dalam buku dan katalaog-katalog pameran oleh pensejarahan seni atau kurator pameran. Karya cat minyak yang dihasilkan pada tahun 1962 ini memperlihatkan tiga orang wanita Melayu yang sedang memetik daun tembakau disebuah ladang yang terdapat dinegeri itu. Daripada data visual dalam karya ini bolehlah dimengertikan mengenai aktivit ekonomi dan sosio-budaya masyarakat di negeri Pantai Timur itu pada tahun 60 an. Misalnya daripada gambaran karya ini bolehlah ditafsirkan bahawa kegiatan pertanian iaitu menanam tembakau adalah kegiatan ekonomi penting penduduk tempatan dikawasan  pendalaman negeri Kelantan selain daripada nelayan bagi mereka yang tinggal di pesisir Laut China Selatan.


Penanam tembakau seperti gambaran bolehlah dikatakan dilakukan secara besar-besaran

pada ketika itu kerana terdapat kilang pemprosesan yang kelihatan jauh di sudut sebelah kanan catan. Dari segi sosial-budaya boleh dikatakan sudah terdapat kesedaran untuk memakai tudung kepala iaitu satu tuntutan yang wajib dipatuhi oleh orang yang beragama Islam, walaupun belum cukup sempurna, ini menandakan bahawa penduduk negeri ini telah menerapkan nilai-nilai Melayu-Islam dalam cara hidup berpakaian mereka selain berkain batik yang telah menjadi pakaian sejak sekian lama. Oleh kerana popularitinya karya ini telah menjadi rujukan di dalam buku teks seni visual sekolah dalam memahai seni moden Malaysia selain imej karyanya kerap digunakan untuk dijadikan sebagai kalender bergambar, cenderhati dan dibuat penyelidikan.


Satu lagi karya cat minyak Hoessein Enas dalam Koleksi Seni Visual Negara ialah ‘Gadis Korea’ (1960). Karya ini pernah dipinjam oleh Busan Museum of Art (BMA) pada tahun 2014 yang sempena pameran ‘The Origin of Beauty: Dramatic Nostalgia’ . Pameran khas ini diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan 2014 atau Asean-South Korea Commemorative Summit 2014 iaitu sebuah dialog antara negara-negara Asia Tenggara dengan Korea Selatan dalam merapatkan hubungan dua hala yang dihadiri oleh saya sendiri sebagai wakil Balai Seni Visual Negara. Menurut Ameruddin Ahmad iaitu kurator di bahagian Koleksi dan Konsevasi BSVN menyatakan di dalam ulasan beliau mengenai karya ini seperti yang terdapat didalam katalog pameran itu  menyebut bahawa Hoessein Enas biasanya akan melukis secara terus melalui model dihadapannya ataupun melalui gambar yang disediakan oleh pembantunya. Menurutnya lagi Ismail Kadir iaitu seorang pelukis lanskap cat air , beliau pernah dikomisenkan oleh Hoessein Enas untuk mengambil gambar model-model di Kelantan dengan menggunakan kameranya. Sehingga ke hari ini Ismail masih lagi menyimpan gambar-gambar berkenaan.

Penulis bersalaman dengan Datuk Bandar Busan semasa perasmian pameran ‘The Origin of Beauty: Dramatic Nostalgia’ di Busan Museum of Art (BMA), Korea Selatan yang mempamerkan bersama karya Hoessein Enas ‘Gadis Korea’ dan karya pelukis Malaysia yang lain..

Karya ‘Gadis Korea’ adalah catan figura gadis Melayu yang sedang duduk dengan memakai pakaian tradisi perempuan Korea. Ameruddin mengatakan lagi selepas 50 tahun karya ini dihasilkan, sebuah stesen penyiar disana iaitu South Korea Broadcasting System pernah melaporkan bahawa gadis yang berpakaian wanita  Korea itu adalah seorang berbangsa Melayu bernama Mariam Johari yang kini berumur 87 tahun berasal dari Plentong, Johor. Sungguhpun telah lama hidup di negara Korea beliau telah dikatakan telah lama ingin untuk berjumpa dengan anak-anaknya yang terpisah semasa Perang Dunia Ke-2. Beliau berkahwin dengan lelaki negara itu dan mengamalkan cara hidup dengan fasih berbahasa Korea telah ke udara di televisyen dan akhbar dengan memakai pakaian wanita Korea dengan harapan ada orang yang mengenalinya. Cita-citanya untuk berjumpa dengan anak-anaknya tidak pernah pudar walaupun pernah dipisahkan dengan peperangan. 

Selain BSVN pengumpul utama karya-karya Hoessein Enas, karya-karya beliau banyak dijadikan koleksi oleh institusi-institusi seni yang lain antaranya Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah di Universiti Sains Malaysia, Balai Seni Pulau Pinang, Tenaga Nasional dan kolektor-kolektor perseorangan.

Penutup

Keseluruhannya Balai Seni Visual Negara menyimpan hampir 50 peratus karya-karya penting Hoessein Enas di dalam dua dekad iaitu diantara tahun 1950 an hingga 1960 an dimana karya-karya ini menjadi dokumentasi dan catatan berharga dan perjalanan penting kepada sejarah pembinaandan pembangunan semula negara ini selepas mencapai kemerdekaan. Catatan visual Hoessein Enas adalah melalui lukisan potret figura sejak 60 tahun dahulu yang dimulai oleh beliau boleh dijadikan tanda aras kepada kemajuan apakah yang telah dicapai dalam gaya itu oleh pelukis yang bergerak dengan gaya itu pada hari ini, samada kita masih statik atau terus dinamik. Pada 15 Julai tahun 1995 Hoessein Enas telah meninggal dunia di Kuala Lumpur, tahun ini merupakan ulangtahun yang ke-20 pemergian beliau. Pemergian beliau meninggalkan khazanah yang begitu penting kepada dunia seni visual negara.

Bibliografi:


‘Inventori Himpunan Tetap Warisan Seni Tampak Negara 1958-2003’, Balai Seni Visual Negara, 2003.

Chin Khuan, Tan. '200 Malaysian Artists', The Art Gallery, Penang, 2002

Chin Khuan, Tan. 'Life and Art of Dato’M Hoessein Enas', The Art Gallery, Penang, 1999.

Kok Chuen, Ooi, 'Seni Untuk Hidup dan Hidup Untuk Seni', Sunday Style, Jun 1992, ms 314-316.

Katalog pameran:

Katalog pameran ‘The Origin of Beauty: Dramatic Nostalgia’ Busan Museum of Art, 2015

Katalog Pameran Perseorangan Pertama Lukisan oleh Hoessein Enas, Balai Seni Lukis Negara, 1966

12 ulasan:

  1. assalamualaikum & salam sejahtera..kepada pemilik blog,terlebih dahulu..saya kenalkan diri sy..sy mohd zhafrizal zulkifli..pelajar tahun pertama sarjana pendidikan seni lukis uitm..sy ingin membuat kajian mengenai satu karya seni dato hoessein enas iaitu kelantanese dancer,jika tidak keberatan..boleh sy tahu cerita di sebalik lukisan tersebut..tq

    BalasPadam
  2. assalamualaikum, izinkan saya jadikan entri ini sebagai rujukan. terima kasih

    BalasPadam
  3. Maklumat sangat berisi dan berguna. Terima Kasih

    BalasPadam
  4. Saya nak menggunakannya dalam artikel saya untuk Wikipedia bahasa Rusia

    BalasPadam
  5. Sy ada 3 lukisN untuk dijual..1 lukisan dr telesforo rodriquez yg dilukis atas kulit kayu..2.lukisan dr jose tutilio c yg dilukis atas kulit kayu ..3.lukisan dr s.asiano dilukis atas kain dlm tahun 60 an...berminat boleh bida harga..01!36053149 ruzzismart..

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum, saya ada buat kajian mengenai seni lukisan bab 2 tingkatan 3. Jadi saya nak buat pertanyaan. Maaf, gambar yang kedua iaitu seorang lelaki tu apa tajuk karya dia ya? Dato' Mohamed hoessein enas menggunakan media apa? boleh detailkan tak?

    BalasPadam