Rabu, 17 September 2014

Arca Tradisi Seni Rupa Melayu

Oleh: Faizal Sidik




Penulisan ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran sepintas lalu tentang kedudukan Seni Tradisi Agung yang menyelami evolusi kepada bentuk seni rupa sezaman. Berdasarkan kepada perkembangan semasa dalam arena seni rupa di Malaysia khasnya dikalangan seniman berbangsa Melayu, pendedahan dan peningkatan ilmu seni lukis dan seni reka secara yang lebih teratur, pengalaman estetika dan sosial yang baru diperolehi dari luar lingkup masyarakat tempatan serta penemuan bahan dan teknik terkini melalui proses perkembangan teknologi telah mencetuskan ilham yang baru dari segi berkarya.

Perkembangan-perkembangan terbaru ini telah membentuk sikap serta pandangan baru bagi pengkarya dalam pengolahan hasil kerja seni, meneliti perkembangan semasa dan menjadi agen pembentukan masyarakat.Walaubagaimanapun kesedaran terhadap jenis seperti yang dinyatakan oleh T.H Giddings seolah-olah masyarakat mengikat seniman – seniman Melayu kembali merujuk kepada artifak-artifak warisan.Perkembangan ini bolehlah dilihat sebagai percubaan-percubaan untuk mengolah ciri-ciri budaya pribumi yang dimiliki supaya dapat mematuhi pola-pola yang kononnya menentukan pengiktirafan sesuatu objek itu menjadi sebuah karya seni.

Willem de Kooning pernah membuat kenyataan tentang gaya pelukis Perancis. Beliau menyatakan, “I agree that tradition is port of the whole world now. The points that was brought in making an object. They have a particular something that make them looked a ‘finished’ painting”.Kenyataan de Kooning di atas menyarankan bagaimana pelukis Perancis berjaya menerapkan unsur-unsur ‘kePerancisan’ dalam mereka yang bersifat sejagat.

Picasso sendiri telah menjadikan seni primitif Afrika sebagai dasar perkembangan seninya.–‘La Demoiselles d’ Arignon jelas merupakan ciri-ciri ini. “There is no doubt that these African solutions of abstracts problem of structure and composition played an important role in Picasso’s attraction to Dan masks and to Bakota figure. One has only to compare the studies done in connection with “Les Demoiselles d Avinon of 1906-1907 to see how direct this formal influence was”.

Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat manusia kini mengiringi usaha untuk memperluaskan imej-imej yang bersifat tradisi melewati batas penggambaran dan pernyataan seni reka.Oleh itu tidak mustahil jika didapati Seni Tradisi Agung turut menyelami evolusi mengikut keperluan dan perkembangan semasa. “A work of art is a man-made object demanding to be experienced aesthetically”.

Pendekatan kaedah dalam penulisan kajian ini juga melibatkan sudut perkembangan yang melingkupi objek meliputi psikologi dan perasaan estetik, gerak balas imej Tradisi Agung terhadap rangsangan luar dan sikap yang dianuti di kalangan seniman tempatan. Menurut Nathan Knobler, Pengalaman yang merupakan dorongan estetik kepada seseorang itu hanya berkesan pada jangka waktu yang tertentu sahaja. Lama-kelamaan kesannya akan berkurangan dan perlu diganti dengan rangsangan estetik yang lain.

Evolusi ini mempengaruhi pemerhati serta seniman yang cuba mencipta sesuatu yang indah dengan mengawal perhubungan diantara bahagian-bahagian karya yang sedang dikerjakan. Perkataan ‘indah’ terikat pada zaman silam.Indah berpatah balik kepada peraturan estetik dan imej sudah mantap dan sudah diterima.Sesuatu yang baru, yang mengejutkan dan mengganggu fikiran yang diterima sebagai indah.

Oleh itu, Seni Tradisi Agung  masih mempunyai ruang untuk ditempatkan bersama arus perkembangan seni moden dalam usaha untuk meningkatkan nilai seninya dari zaman ke zaman mungkin dalam konteks yang berbeza. Dalam penulisan ini pendekatan kaedah dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui ‘penyelidikan perpustakaan’.Himpunan data diolah berdasarkan perkembangan yang berkaitan dengan kesesuaian tajuk perbincangan.Pendedahan kepada pelbagai pandangan dan hujahan berhubung penulisan seni membantu meluaskan lagi batasan konsep penghayatan seni.

Pada pandangan saya dalam usaha untuk meletakkan ciri-ciri budaya etnik dalam penghayatan seni, ianya perlulah diusahakan dengan menghapuskan halangan salah faham dan prasangka yang kadangkala menebal dengan rasa sentimen.Sebaik-baiknya kita hendaklah mengenal punca yang dapat menghubungkan diantara seni sezaman silam dengan perkembangan seni semasa.Pengenalan sifat seni tampak secara ilmiah dan logik bukan sahaja dapat menghapuskan kesangsian di kalangan masyarakat tempat berkembangnya seni itu malah dapat memusatkan perbincangan dalam lingkungan seni yang berpotensi untuk merintis jalan meneruskan evolusi sesuatu sumber seni tradisi.
Seni Tradisi Agung adalah sebahagian daripada tradisi seni bangsa Melayu.Maka adalah wajar penglibatan dalam seni diperluaskan agar segala aspek pernyataan tampak dan penyampaian idea yang berkaitan dengannya sentiasa berfungsi sebagai sesuatu pengalaman baru sejajar dengan perkembangan masa.Dengan mendorong mendalamkan lagi kesedaran dan kepekaan mengenai seni rupa Melayu, masyarakat dapat mengenal, mengamati dan menghayati. Kesedaran ini akan menyerap ke jiwa kita mengenai seni rupa yang diwarisi dan yang terus wujud.

      Sebelum kedatangan Islam ini lagi, perlakuan melukis dan mengukir sudah wujud di kalangan masyarakat tempatan.Barang tembaga seperti gelang dan kui tembaga telah dijumpai ketika “Perak Man” di temui oleh ahli arkeologi Profesor Zuriana Majid di Kota Tampan, Perak.Sekali lagi ini membuktikan kepada kita bahawa aktiviti mencipta telah berlaku sejak empat ribu tahun yang lalu.Disamping itu terdapat karya seni purba yang ditemui oleh ahli arkeologi seperti patung gangsa yang dijumpai di Jelong, Perak di Lembah Bujang.Kaedah dan lukisan dinding pula terdapat di Gua Niah, Sarawak serta Gua Tambun, Ipoh Perak.Penemuan ini mengukuhkan lagi premis seni sehingga menifestasi masyarakat purba.

      Kesedaran terhadap artifak tampak jua berfungsi yang dijumpai di Tampin, Negeri Sembilan, Batu Bersurat Terengganu serta Batu Aceh menyedarkan kita betapa masyarakat dahulu memerlukan pengkaryaan seni yang tinggi bagi menyambung kewujudan mereka dalam dunia yang serba mengancam. Zakaria Ali, 1989.

      Arca wujud dalam ruang yang menguasai dengan memberi bentuk kepada ruang itu.Arca juga menjadi pusat bidang kuasa yang dinamis, dengan memberi kesedaran terhadap perhubungan antara pemerhati, ruang dan bentuk melalui bahan.Sebuah arca mengandungi struktur gerak yang disarankan.Jika di teliti, terdapat beberapa bentuk arca sebagai manifestasi yang tersendiri dalam Seni Rupa Melayu.Syed Ahmad Jamal, 1992.

      Seni tampak ialah proses menemui dalam industri semulajadi dan mengutarkannya dalam bentuk tampak. Seni menetiliti dalam alam intisari bukan keadaan semulajadi dan kemudian memberi kepada intisari bentuk tampak yang sesuai dengannya. Sifat yang penting dalam kebudayaan Melayu ialah keadaan kesederhanaan, sifat tidak membesarkan diri,tidak mahu menunjuk kepandaian atau kemewahan, sifat-sifat merendah diri sangat ketara dalam bentuk pernyataan seni rupa Melayu, seperti yang disaksikan pada ukiran kayu dan logam.Seni Rupa Melayu mempunyai kawalan yang menahan seniman Melayu daripada keterlaluan menunjukkan kepintaran dalam seninya.Keagungannya bentuk pernyataan atau kemewahan penggunaan bahan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan