Sabtu, 29 Januari 2011

Transformasi Peranan: 'Kuratis' (Artis sebagai Kurator)

Oleh: Faizal Sidik

(Tajuk kertas kerja ini telah di bentangkan di 'Persidangan Kebangsaan Praktis Studio' anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris - UPSI pada 27 dan 28 Januari 2011 di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang)

Faizal Sidik,"Transformasi Peranan: Kuratis (Artis sebagai Kurator)" Persidangan Kurator Muzium Asia, Rimbun Dahan Gallery,2009
Tercetusnya tajuk penulisan ini adalah daripada tajuk "The Transformation of Roles: Curatist (Artist as Curator)" yang di moderatorkan oleh Zanita Anuar bekas Ketua Kurator BSLN semasa Asian Museum Curator Conference atau AMCC yang telah diadakan di Singapura dan Malaysia , 2009 (Gambar- Rimbun Dahan Gallery,)

Abstrak
Idea utama kertas kerja ini adalah untuk mengkaji siapa itu ‘Kuratis’. Istilah ini dicipta gabungan daripada perkataan artis dan kurator ia cuba melihat perubahan praktis terhadap fungsi seorang artis yang mengambil peranan sebagai kurator. Kelahiran artis sebagai kurator bukan sahaja sebagai mengisi kelompongan apresiasi malah ia membina dan membuka pendefinasian baru terhadap kreativiti penciptaan artistik pengiat seni sebegini.Transformasi ini berlaku kerana kebanyakan institusi seni negara ini tidak mempunyai program sejarah seni dan falsafah seni yang khusus seterusnya menghasilkan pensejarahan seni yang menyebabkan ketidakseimbangan dari aspek praktis dan apresiasi.

‘Kuratis’ bukan sahaja berfungsi sebagai kurator sesebuah pameran malah melebihi daripada itu, pengkuratoran yang dilakukan oleh kuratis mengambil kira daripada aspek pengarahan artistik dimana artis sebagai kurator lebih memahami apa yang hendak disampaikan kepada khalayak terutamanya dari aspek pendekatan dan rekaan persembahan pameran dan juga perancangan yang dirancang untuk mencapai tujuan utama sesebuah pameran itu dibina.

Jika di kaji kebanyakan pameran-pameran yang dikuratorkan di negara kita adalah mereka yang berlatarbelakang pendidikan seni halus dimana mereka juga adalah seorang artis pameran-pameran seperti “Towards a Mystical Reality”, “Rupa dan Jiwa”, “Rupa Malaysia”, “Manifestasi Jiwa Islam”, “Seni dan Imejan” dan “Seni Elektronik Pertama” adalah antara pameran yang penting dan berjaya dikuratorkan oleh artis yang mengambil alih peranan sebagai kurator dalam meningkatkan lagi penghayatan seni di negara ini dimana pameran mereka masih lagi diperbincangkan dan diperdebatkan sehingga ke hari ini.

TerminologiSiapa itu kurator dan siapa pula ‘kuratis’? Kurator secara tradisinya boleh didefinasikan sebagai pembina, pemelihara, pengurus, pengusha, pengawal dan penjaga di institusi kesenian, kebudayaan dan warisan seperti galeri, muzium, perpustakaan, dan arkib yang bertanggungjawab ke atas koleksi institusi. Biasanya objek yang dipertangungjawabkan dari segi permaknaan terma kurator ini adalah objek yang boleh dilihat dan disentuh seperti karya seni, artifak sejarah dan koleksi saintifik.

Sungguhpun begitu pendefinisian ini berbeza mengikut tempat dan peranan. Di Britain dalam istilah pemuziuman kurator adalah pekerja perkhidmatan awam yang menjaga kerja-kerja kontrak arkeologi yang menjaga sumber kebudayaan sesuatu kawasan. Di Amerika Syarikat pula istilah kurator digunakan untuk jawatan ketua bahagian dan organisasi kebudayaan, dan yang terkini dengan perkembangan teknologi terkini skopnya bertambah besar peranan kurator dalam bidang pengkuratoran juga menjadi objek kajian akademik dan penyelidikan ilmiah di insitusi seni utama disana. Namun tajuk pembentangan saya ini tidak memokuskan kepada kurator semata-mata tetapi artis sebagai kurator yang terlibat secara langsung dalam seni kontemporari dimana mereka berperanan sebagai orang yang membuat pemilihan, pembina dan penginterpritasikan pameran karya seni sezaman dimana mereka juga bertindak sebagai penerbit katalog atau buku sebagai bahan dokumentasi.

Artis sebagai kurator atau ‘kuratis’ bukan satu idea baru, ia mempunyai tradisi yang panjang sebelum ini. Dalam perjalanan sejarah seni sebelum ini cuma tidak dibincangkan secara serius. Pada akhir abad ke-19 di Eropah terutamanya di Paris yang menjadi pusat seni dimana artis memprotes juri salon dan institusi yang konservatif pada masa itu iaitu ‘Paris Salon’ 1863 dan mereka membentuk sendiri kumpulan avant-garde iaitu Salon des Refuses atau ‘pameran karya ditolak’ untuk mempamerkan karya mereka diluar penentuan institusi seni. Pada abad ke-20 di New York, tiga puluh tahun kemudian, gerakan artist-run-centre atau pusat seni yang digerakkan oleh artis mula menjadi fenomena di seluruh dunia.

Artis sebagai kurator bukan sahaja mengkuratorkan pameran malah mereka berkemampuan menulis dan menghasilkan buku tentang seni dengan baik artis-artis seperti Joseph Kosuth, Ad Reinhardt, Frank Stella, Donald Judd, Robert Smithson dan di sini pula artis seperti Redza Piyadasa, Suleiman Esa, Syed Ahmad Jamal dan Ismail Zain adalah antara mereka dihormati terhadap sumbangan teks penulisan-penulisan dalam pameran yang dikuratorkan mereka sebelum ini. Kata-kata mereka masih relevan dan masih diguna pakai dan di petik dijadikan pembuka wacana untuk menguatkan lagi hujah bagi mendekatkan audien.

Di negara kita sejarah aktiviti pengkuratoran sesebuah pameran seni boleh dikatakan bermula secara rasmi setelah penubuhan institusi seni nasional Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1958. Namun peranan dan sumbangan artis sebagai kurator dalam perkembangan seni lukis Malaysia mungkin tidak disedari oleh kita, mungkin juga tiada perbincangan yang khusus dalam melihat sempadan memisahkan dua peranan ini iaitu antara kurator institusi dan artis sebagai kurator. Disini saya meletakkan beberapa anjakan mengapa tranformasi ini berlaku dan bagaimana ianya berfungsi serta kesan atau impaknya terhadap perkembangan seni visual secara keseluruhannya.

Mencabar Keterbatasan Institusi Kebudayaan
Bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam seni kini sudah tentu tidak boleh tidak akan bergerak terhadap zaman dimana mereka berada atau apa yang dikatakan kontemporari yang mengenalpasti dan mengakui model baru, pendekatan terkini dan kecenderungan untuk melakukan perubahan terhadap praktis kuratorial. Pembentukan peranan ini boleh dikatakan berkaitan dengan menidakkan atau anti sejarah institusi yang menginginkan antimoni dan mengikut citarasa sendiri dalam berpameran dan berkreativiti. Artis sebagai kurator melihat apa yang terlepas pandang oleh kurator institusi, tujuan mereka mengkuratorkan pameran dan menulis sendiri konsep pameran mereka adalah salah satu tindak balas reaksi terhadap keterbatasan institusi seni dalam memahami kehendak-kehendak mereka ia seolah-olah mencabar had-had yang dibenarkan oleh pembuat polisi yang perlu mematuhi dengan peruntukan-peruntukan kebebasan yang dibenarkan.

“The arguments regarding curating as art, or uber-curator as ‘author’, stems, therefore from the lack of definition regarding the limits of curating, and consequently troubling the of the potentiallly unfettered power of the agency of curation. The reverse of this, the artist as curator, similarly emerges from collapse of any viable distinction betwen the work of artists and the work of curators, whilts the professional and institutional distinction between them remains and in the process of being professionalized further”

Oleh kerana keterbatasan dalam berekspresi ini dihalang maka artis sebagai kurator ini mencari jalan lain yang lebih sesuai dengan misi dan visi yang ingin dibawa oleh mereka dengan bergerak secara kolektif atau membuka ruang alternatif atau artist run spaces yang digerakkan sendiri oleh artis secara solo dan berkumpulan dalam mempamerkan karya sendiri dengan karya lain dengan tema dan arah dan hala tuju yang sama. Antara ruang-ruang yang biasanya di gerakkan sendiri oleh artis sebagai kurator yang terdapat di negara ini antaranya adalah Rumah YKP, Rumah Air Panas, Lost Gen Space, yang diinspirasikan bertujuan untuk menolak kewujudan muzium dan galeri seni dan memaparkan satu inovatif dan eksperimentasi seni terus kepada khalayak baru, ia bukan sahaja dalam seni visual malah dalam muzik (kumpulan muzik indie) menolak syarikat rakaman muzik pop dan juga teater (rumah teater absurd) menentang persembahan teater arus perdana.

Penerokaan Cara Baru Dalam Melihat
Pengarahan yang menarik membawa penceritaan yang menarik perhatian audien, kurator seperti juga pengarah filem atau lebih tepat lagi sebagai ‘pengarah pameran’. Di akhir abad ke dua puluh dan seterusnya memasuki abad ke-21 memperlihatkan ramai dikalangan artis mula mengkuratorkan pameran yang menidakkan peranan kurator institusi. Dalam melihat potensi-potensi kreativiti dalam peragaan sudah macam menjadi satu trend semasa di dalam acara-acara besar seni seperti acara seni dwi-tahunan Biennale dan festival seni kontemporari Art Fair pihak penganjur menjemput artis sebagai pengarah seni atau kurator bebas mengkuratorkan pameran. Reputasi yang dicipta oleh artis sebagai kurator dengan persembahan pembinaan pameran yang luar biasa dan idea yang menarik menjadi perhatian khalayak untuk datang melihat.

Pendekatan artis sebagai kurator agak berbeza dengan kurator institusi dari segi kreativiti. ‘Kuratis’ datang dengan idea terlebih dahulu sebelum mencari artis-artis yang sesuai dengan idea beliau yang berpusatkan daripada pemikiran beliau daripada aturan pameran biasa yang berasal daripada idea di studio artis. Mereka melawan arah pendekatan konvensional dalam berpameran dengan seboleh mungkin untuk meneroka sesuatu yang belum pernah dilihat oleh sesiapa dari segi rekaan artistik peragaan. Pengunjung ke galeri atau muzium memasuki dunia baru kuratis. Apabila ke galeri audien bukan lagi berada dalam kehidupan biasa harian mereka, mereka seperti berada di dunia lagi satu ciptaan kuratis , dunia estetika dunia yang tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, dunia gambaran. Sebab itu apabila anda memasuki muzium atau galeri audien akan ditawarkan dengan imejan aneh ciptaan artis.

John Baldessari seorang artis konseptual diberi kepercayaan oleh Los Angeles Contemporary Art (LACMA) dalam mempamerkan semula karya pelukis surealis dalam pengkoleksian mereka. Pameran Magritte and Contemporary Art: The Treachery of Images sebuah pameran diadakan pada 2006 meneroka impak pelukis Belgium Rene Magritte (1898-1967) terhadap pengkaryaan ganerasi pelukis pasca perang Amerika dan Eropah. Pameran ini memaparkan 68 catan dan lukisan Magritte dari pelbagai media daripada 31 pelukis kontemporari seperti Richard Artschwager, John Baldessari, Vija Celmins, Robert Gober, Jasper Johns, Jeff Koons, Ed Ruscha, and Andy Warhol.











Pameran Magritte and Contemporary Art: The Treachery of Images (2006)





Pameran ini melihat perbezaan dan pendekatan yang tanpa disedari yang hadir dalam seni pop, konseptual dan sensibiliti pasca moden merujuk idea dan imaginasi Magritte. Apa yang menariknya pameran ini adalah reka bentuk pameran Baldessari begitu bersahaja dan melucukan merupakan daya cipta baru dalam persembahan pameran dalam memahami dengan lebih mendalam pengkaryaan Magritte dimana beliau menggunakan subjek awan yang begitu dominan dalam karya artis surealis itu di dinding dan lantai galeri seolah pelawat yang berada dalam ruang pameran ini terapung-apung di udara melihat karya seni di atas awan dan langit yang biru.

Penemuan Dalam Pembinaan Pameran
Penemuan-penemuan baru bukan sahaja berlaku di dalam makmal-makmal sains tetapi juga studio-studio artis sebagai pusat inkubator budaya. Boleh dikatakan artis sebagai kurator bertindak sebagai ‘saintis sosial’ yang mencari dapatan-dapatan daripada objek-objek yang dipamerkan. Mereka penghubung antara dunia visual dengan makna iaitu teks dan dialog, ia boleh dikatakan sebagai ‘jambatan’ pengantara kepada penginterpritasian dan apresiasi oleh pelukis dalam kerja-kerja produk pemaknaan atau ‘production of meaning’ dalam menerangkan sesuatu komentar, visi atau manifesto.

Di Malaysia ada beberapa sampel pembinaan seumpama ini yang boleh dijadikan model. Banyak pameran-pameran penting seni lukis dibina oleh artis yang terlibat dalam penyelidikan umpanya pameran ‘Rupa dan Jiwa’ Syed Ahmad Jamal adalah daripada pengkajian beliau berkenaan dengan seni tradisional Melayu. Dapatan dan penemuan beliau itu didokumentasi dalam bentuk buku dan beliau sendiri mengkuratorkan pameran seni terhadap penerokaan pengkaryaan pelukis yang mempunyai kesinambungan daripada seni tradisi. Pameran seni konseptual ‘Towards a Mystical Reality’ oleh koloborasi Redza Piyadasa dan Suleiman Esa adalah yang mengasimilasikan budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen yang meninggalkan pengaruh dan polemik sehingga ke hari ini.











Manifesto ‘Towards a Mystical Reality’ (1972) oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa

PenutupSedar atau tidak kebanyakan pengkuratoran pameran-pameran penting di negara ini adalah mereka yang terdiri daripada artis sebagai kurator. Pengkuratoran ‘kuratis’ mempunyai pengaruh yang besar dalam pengkaryaan seni di negara ini selepas pameran dan saranan-saranan dalam tulisan mereka antaranya seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain, Hasnul Jamal Saidon, Nirajan Rajah dan Wong Hoy Cheong. Kehadiran generasi baru seperti Nurhanim Khairuddin, Faizal Sidik, Safrizal Shahir, Yap Sau Bin dan Fuad Arif perlu diberi perhatian di atas komitmen yang dimainkan oleh mereka.

Kuratis bukan sahaja berpendidikan malah mereka merupakan artis yang ‘bijak’ yang bukan sahaja mampu membincangkan pengaruh sejarah seni, idea, konsep, teori , estetik dan falsafah dalam pengkaryaan mereka secara khusus malah dalam praktis seni secara umumnya. ‘Kuratis kontemporari’ bukan sahaja mengenalpasti dan memperkenalkan pendekatan baru dalam pengkuratoran malah mereka juga bertindak serba boleh multi-tasking sebagai juga pengkritik dan pentadbir seni yang merupakan satu transformasi peranan dualisme yang lebih padu dan berkuasa dalam sistem dunia seni (artis, kurator, pedagang seni, kolektor) akan datang.



Rujukan.

Judy Rugg, Michele Sedgwick, 2007. ‘Issues In Curating Contemporary Art and Performances’. Intellect Book.

Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, 1972. ‘Towards a Mystical Reality: A Documentation of Jointly Initiated Experienced by Redza Piyadasa and Suleiman Esa’. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Faizal Sidik,’The Transformation of Roles: Curatist’, Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan